Pages

Thursday, August 30, 2012

Bashar tolak saranan Turki

BEIRUT: Presiden Bashar al-Assad berkata, cadangan mengenai zon penampan dikuatkuasakan Barat di wilayah Syria tidak realistik dan keadaan negara itu kini “lebih baik” walaupun lebih banyak masa diperlukan bagi mengatasi konflik terhadap pemberontak.
Bercakap dalam sesi temu bual dengan televisyen tempatan, Addounia, Bashar berkata, idea mengenai zon penampan itu tidak praktikal, termasuk bagi negara yang memusuhi Syria.

Komen itu dibuat sebagai tindak balas terhadap khabar angin mengenai kedudukannya sejak insiden pengeboman di Damsyik Julai lalu.

Kata Bashar, dia bercakap dari Istana Presiden di ibu negara Syria itu. Turki yang berjiran dengan Syria mencadangkan satu zon penampan dibina untuk orang awam dan diletak di bawah perlindungan negara asing ekoran pertempuran kian meningkat di Syria. Presiden Perancis, Francois Hollande, menyokong cadangan Turki itu. Syria pernah menjalin hubungan rapat dengan Turki tetapi situasi itu berubah disebabkan reaksi Bashar terhadap kebangkitan rakyatnya.

Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan kini menjadi antara pengkritik utama Syria dan meningkatkan kemungkinan campur tangan tentera di negara itu jika pemberontak Kurdis menjadi ancaman di situ. Mengenai isu itu, Bashar berkata, Syria tidak akan berundur disebabkan “kejahilan” sesetengah pegawai Turki.

“Rakyat Turki menyokong kita sepanjang krisis ini,” katanya. Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, menggesa PBB menangani pelarian Syria di negara itu sendiri dan bukan membiarkan mereka membanjiri Turki.


Setakat ini, lebih 80,000 rakyat Syria menjadi pelarian akibat konflik di negara itu. - Reuters

No comments:

Post a Comment