Pages

Wednesday, July 25, 2012

Waktu-Waktu Yang Diharamkan Solat




Solat wajib punyai waktu-waktunya yang tersendiri begitu juga dengan beberapa solat sunat. Umumnya sesetengah solat sunat boleh sahaja dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja melainkan pada waktu yang diharamkan kita bersolat. Waktu-waktu yang diharamkan kita bersolat adalah sebagaimana yang berikut:
Ketika matahari terbit sehingga sedikit naik, baik solat fardhu, solat sunat, samada secara tunai atau qadha. - Ulama’ Syafi’eyah dan Malikiyyah dalam masalah ini mengecualikan Solat Subuh dan Asar.

Jika seseorang menunaikan Solat Subuh dan tinggal satu rakaat kemudian masuk waktu tepat matahari terbit, maka dia boleh meneruskan solat itu sehingga selesai. Begitu juga dengan Solat Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja lagi kemudian tiba waktu betul-betul terbenamnya matahari maka dia boleh meneruskan solatnya sehingga selesai. Menurut Ulama’ Hanafiyyah pula apabila seseorang solat dan ditengah-tengah solat matahari terbit, maka batal solatnya tersebut. Jika yang dilakukan adalah Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja kemudian tiba waktu matahari terbenam, maka solatnya boleh diteruskan dan sah sebagaimana menurut kebanyakan ulama’.

Ketika istiwa’ iaitu matahari berada tepat di atas kepala pada tengah hari sehingga tergelincir sedikit. - Perkara ini berdasarkan kepada hadis Uqbah. Namun demikian Ulama Malikiyyah dan Syafieyyah mengecualikan pada hari Jumaat dan ketika solat di Masjidil Haram, Mekah. Perkara ini disepakati juga oleh Ulama Hambali dalam bab dibolehkan menunaikan solat Tahayyatul Masjid dalam waktu tersebut pada hari Jumaat.

Ketika matahari kekuning-kuningan hendak terbenam sehingga benar-benar terbenam iaitu kira-kira seseorang mampu melihat ke arah terbenamnya matahari. - Dikecualikan bagi solat asar yang telah mendapat satu rakaat dan solat di Masjidil Haram sebagaimana merujuk dalil hadis.

Tiga waktu yang kami dilarang oleh Rasulullah SAW menunaikan solat dan mengebumikan orang mati; Ketika tepat matahari terbit sehingga naik,ketika betul-betul tengah hari (matahari naik tegak atas kepala) dan ketika matahari condong (hampir terbenam) sehingga benar-benar terbenam. (Riwayat Ahmad,Muslim,Nasai,Ibnu Majah,Tirmizi,Abu Daud)

Rujukan : Fiqh Solat Empat Mazhab oleh Syekh Abdul Qadir Ar-Rahbawi
 

No comments:

Post a Comment