Pages

Monday, July 30, 2012

Temu keluarga selepas 34 tahun

SEBELUM PINDAH...Susan dan suami, Sid bersama anak mereka, Joanna.
SEBELUM PINDAH...Susan dan suami, Sid bersama anak mereka, Joanna.
SUSAN...gambar terbaru.
SUSAN...gambar terbaru.
LONDON: Apabila Susan Ardron berpindah ke Afrika Selatan pada 1975, hubungan dengan keluarganya putus secara tiba-tiba beberapa tahun kemudian.
Keluarganya yang tidak tahu dia menghidap amnesia selepas terbabit dalam kemalangan kereta menyangka dia sudah meninggal dunia.
Tetapi, selepas 34 tahun, apabila ingatannya pulih secara perlahan-lahan, dia mengejutkan anggota keluarganya dengan menghubungi mereka menerusi Facebook.

Susan, 61, yang masih menetap di Afrika Selatan, dibantu untuk menjejaki keluarganya di Rotherham, Yorkshire Selatan oleh keluarga yang dia tumpang di Johannesburg.

Kini, dengan perkembangan yang mengejutkan itu, adiknya, Colin, 39, Dawn, 58, Julie, 50 dan Gail, 52, berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan pasport bagi membolehkan kakak mereka kembali ke Britain.

Susan berlepas ke Afrika Selatan bersama suami, Sud dan empat anak.

Apabila keluarganya tidak memperoleh berita daripadanya, mereka cuba menjejakinya menerusi Pertubuhan Palang Merah dan pertubuhan amal Kristian.

Akibat daripada kemalangan yang dialaminya menyebabkan dia sukar mengingati identiti sebenarnya.

Keadaan itu menyebabkan suaminya meninggalkannya bersama-sama empat anak mereka.

Joanna, 43, Jason, 40, Adele, 38, dan Amanda, 36, kembali ke Britain dan Susan masih belum dapat berhubung dengan mereka kerana ingatannya masih belum kembali sepenuhnya.

Dia tinggal bersama anggota keluarga yang berbeza di seluruh Afrika Selatan, bertarung dengan penyakit barah payu dara tanpa keluarga dan bekerja sebagai pembantu rumah.

Selepas tinggal bersama keluarga January barulah dia memperoleh bantuan untuk menghubungi keluarganya di Britain.

Keluarga berkenaan yang membantu mereka yang memerlukan selepas mereka sendiri pernah mengalami keadaan tidak mempunyai rumah, memberi bantuan paling berharga dalam membolehkan Susan berhubung dengan keluarganya menerusi laman sosial itu.

Bercakap kepada akhbar Daily Mirror, adiknya, Colin memuji jasa keluarga January itu.

“Keluarga itu sungguh luar biasa. Kami terhutang budi pada keluarga January,” kata Colin.

Dawn pula berkata: “Sejak beberapa tahun lalu, ingatan Susan kembali pulih, sedikit demi sedikit.

“Mulanya kami menyangka ditipu. Tetapi apabila kami menerima gambarnya, kami serta-merta tahu itulah kakak kami.

“Kami berasa lega dan sayu. Kami sedih kerana ia tidak berlaku tiga tahun lalu apabila ibu dan bapa kami masih hidup.”

Kedua-dua ibu bapa Susan, Colin dan Mavis meninggal dunia pada 2009.

Menurut keluarga itu, ibu bapa mereka enggan berpindah dari rumah asal mereka kerana masih berharap Susan akan kembali mencari mereka. - DM

No comments:

Post a Comment