NEW DELHI - Seorang isteri, Priyanka Bharti diberi sambutan meriah pada Rabu lalu semasa dia pulang semula ke rumah mertuanya selepas melarikan diri kerana ketiadaan tandas di Kampung Vishnupur Khurd, Uttar Pradesh, India.
Bharti turut merasmikan pembukaan sebuah tandas moden di rumah mertuanya itu yang turut disaksikan sejumlah orang.
Tandas itu turut dihiasi dengan bunga.
Pembinaan tandas itu dikendalikan pihak pengurusan pertubuhan perkhidmatan sosial antarabangsa, Sulabh.
Tandas itu dibina selepas berita Bharti melarikan diri tersebar di India.
Pertubuhan itu turut membina sebuah bilik mandi di rumah mertuanya.
Pengasas pertubuhan itu, Bindeshwar Pathak turut hadir pada majlis tersebut.
Sebelum ini dia meninggalkan rumah mertuanya selepas empat hari menginap kerana malu jika ditanya oleh keluarganya tentang lokasi tandas di rumah itu.
Bharti, 19, melarikan diri semasa keluarganya yang datang dari sebuah kampung lain mahu melawat dia di rumah mertuanya itu.
"Saya berpendapat saya tidak boleh tinggal di sebuah rumah yang membolehkan orang ramai mungkin melihat saya membuang air besar di luar rumah dengan cara yang tidak bersih," katanya kepada agensi berita AFP.
Dia berasa malu apabila terpaksa membuang air besar di kawasan lapang di luar rumah kerana ketiadaan tandas.
Bharti berkahwin dengan suaminya, Amarjeet Kumar, 20, pada tahun 2007.
Bagaimanapun, dia hanya mula tinggal di rumah mertuanya pada April lalu selepas umurnya mencecah 19 tahun.
Suami Bharti menganggap perkara yang paling penting buatnya ialah kepulangan isterinya.
"Saya malu apabila dia bertanya di mana tandas dan kami perlu memberitahunya untuk ke luar rumah (membuang air besar).
"Kini, tandas itu telah dibina dan kami perlu menjaga dan menggunakannya," kata Amarjeet. - Agensi
No comments:
Post a Comment