Pages

Saturday, July 21, 2012

Serangan dalam pawagam tayang filem Batman

WASHINGTON - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 50 lagi cedera semalam apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penonton yang sedang asyik menonton tayangan filem Batman di pusat beli-belah di Aurora, negeri Colorado, kata Ketua Polis Aurora, Dan Oates.
Oates berkata, lelaki bersenjata itu, James Holmes, 24, kemudian ditangkap ekoran kejadian tersebut semasa para penonton menonton filem terbaharu Batman, The Dark Knight Rises pada tayangan tengah malam di pawagam Century 16.
Saluran berita CNN melaporkan, lelaki itu yang menggunakan empat senjata api termasuk sepucuk raifal dan pistol melepaskan tembakan semasa adegan tembak-menembak filem tersebut ditayangkan.
Dia berkata, pawagam tersebut juga dipenuhi dengan asap.
Polis kini memburu seorang lagi lelaki bersenjata yang turut terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.
Menurut media Amerika Syarikat (AS), antara mangsa yang cedera termasuk enam kanak-kanak dengan mangsa paling muda berusia enam tahun.
Seorang saksi memberitahu saluran televisyen bahawa sebanyak 10 hingga 20 tembakan kedengaran dan terdapat letupan kecil.
"Sejurus kemudian, kami mendengar orang ramai menjerit.
"Selepas itu, pengumuman dibuat menerusi sistem audio yang meminta setiap orang keluar dari pawagam," katanya.
Saksi itu menyatakan, selepas keluar, sejumlah orang kelihatan berlari dan menjerit.
Laporan Radio KOA 850 menyatakan beberapa saksi menyatakan salah seorang penyerang itu yang memakai topeng turut membawa bom asap.
Motif serangan masih belum diketahui.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh penasihat Keselamatan Dalam Negara, John Brennan, menggesa rakyat AS supaya bersatu bersama penduduk Aurora pada waktu sukar ini.
"Michelle (isteri Obama) dan saya terkejut dan sedih berhubung insiden tembakan yang dahsyat dan tragis di Colorado. Pihak berkuasa persekutuan dan tempatan masih menyiasat dan pentadbiran saya akan melakukan apa saja yang terdaya untuk membantu penduduk Aurora pada detik yang sukar ini," kata Obama. - Agensi

No comments:

Post a Comment