Pages

Saturday, July 28, 2012

Pertempuran sengit di Aleppo



BEBERAPA orang yang tidak mahu terperangkap dalam pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak menaiki sebuah lori kecil untuk keluar dari bandar Aleppo kelmarin.



ALEPPO - Pasukan pemberontak Syria menghadapi serangan paling sengit di sini semalam ketika bekas ketua misi pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mejar Jeneral Robert Mood menyatakan Presiden Bashar Al-Assad hanya menunggu masa untuk tersingkir.
Menurut seorang pegawai keselamatan Syria, anggota-anggota pasukan tentera Syria menuju ke Aleppo pada Rabu lalu dan kelmarin.
Beberapa helikopter melancarkan serangan di kawasan perumahan yang didiami pemberontak di bandar kedua terbesar Syria itu.
Tiga orang terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di barat daya bandar tersebut.
Pertempuran turut berlaku di daerah Al-Jamaliya.
"Tentera Syria telah tiba di Aleppo," kata jurucakap Tentera Pembebasan Syria, Abdel Jabbar al-Okaidi.
Beliau yang menentang kepimpinan Bashar menyatakan, tentera Syria itu dibantu 100 buah kereta kebal.
Sementara itu, Mood berkata, kejatuhan Bashar tidak akan menamatkan perang saudara di Syria.
"Cepat atau lewat, rejim Bashar akan jatuh," katanya yang pernah mengetuai 300 anggota misi pemantau PBB di negara ini.
"Namun, adakah kejatuhan itu akan berlaku dalam tempoh seminggu atau setahun?
"Itu merupakan jawapan yang saya tidak berani untuk jawab," tambahnya.
"Ramai pihak yang berpendapat jika Bashar jatuh atau jika beliau diberikan penghormatan untuk keluar dari Syria, masalah (di negara tersebut) akan selesai.
"Namun, situasi di negara ini mungkin akan menjadi lebih buruk," jelasnya.
Pertempuran antara pemberontak dengan tentera Bashar bermula pada Mac tahun lalu.
Para pemberontak menuntut Bashar meletakkan jawatan selepas beliau gagal membawa pembaharuan dalam demokrasi dan pentadbiran.
Pertempuran antara kedua-dua pihak itu dianggarkan telah mengorbankan lebih 19,000 orang. - Agensi

No comments:

Post a Comment