Pages

Sunday, July 29, 2012

'Penembak Batman' pesakit mental




AURORA, Colorado - Suspek penembak tayangan perdana filem Batman, James Holmes (gambar) dilaporkan telah menemui seorang pakar psikiatri berpengalaman mengenai skizofrenia sebelum membunuh 12 orang, menurut dokumen mahkamah kelmarin.
Skizofrenia merupakan sejenis penyakit mental yang menyebabkan gangguan perasaan dan tingkah laku.
Holmes menghantar sebuah buku nota mengandungi butiran dan lakaran tentang rancangannya untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai itu kepada pakar psikiatri Universiti Colorado di Amerika Syarikat (AS), Lynne Fenton.
Setakat ini, masih tidak jelas sama ada nota itu sampai kepada Fenton manakala polis bersikap mendiamkan diri ekoran arahan hakim yang mengadili kes berkenaan.
Kewujudan buku nota itu hanya diketahui selepas Hakim Daerah Arapahoe, William Sylvester mendedahkan permintaan pihak pembelaan agar polis menyerahkan buku nota itu kepada mereka.
Permintaan itu dibuat dengan alasan buku nota tersebut adalah komunikasi antara pesakit dan doktor yang dilindungi di bawah undang-undang AS dan tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.
Holmes, 24, yang mengambil program ijazah kedoktoran dalam bidang neurosains di Universiti Colorado Denver, Amerika Syarikat akan didakwa di mahkamah esok kerana melakukan 12 pembunuhan dan 58 cubaan membunuh.
Hakim akan mendengar permohonan pihak pembelaan pada hari yang sama.
Lelaki itu masuk ke pawagam Century 16 di sini, dalam negeri Colorado melalui laluan kebakaran sejurus selepas tayangan Batman: The Dark Knight Rises bermula dan membaling beberapa tin bom asap ke dalam panggung.
Beberapa saksi memberitahu, selepas melepaskan sedas tembakan ke udara, Holmes menembak ke arah penonton dengan menggunakan sepucuk raifal pada 20 Julai lalu.
Raifal berkenaan berupaya melepaskan 60 das tembakan seminit.
Polis berkata, Holmes yang turut mewarnakan rambutnya merah seperti warna rambut musuh Batman, Joker kemudian menyerah diri di luar pawagam berkenaan.
Lelaki itu kini ditahan bersendirian dalam sebuah kurungan di Pusat Tahanan Daerah Arapahoe. Dia berdepan hukuman mati jika didapati bersalah.
Namun, pihak berkuasa Colorado hanya melaksanakan hukuman tersebut ke atas seorang banduan di negeri itu sejak tahun 1976.
Sementara itu, akhbar AS, Deccan Chronicle melaporkan pada minggu ini bahawa Jabatan Polis Aurora menafikan terdapat penembak kedua dalam serangan tersebut.
Seorang rakan Holmes yang disoal siasat sebelum ini dibebaskan selepas dia didapati tiada kaitan dengan kes tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment