Pages

Thursday, July 12, 2012

Pembunuhan Srebrenica diperingati







SEORANG wanita Bosnia sedang membaca al-Quran di sisi keranda saudaranya yang merupakan antara 520 mangsa pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica di tanah perkuburan Potocari dekat Srebrenica, Bosnia dan Herzegovina pada 9 Julai lalu. - REUTERS



SREBRENICA 11 Julai - Rakyat Bosnia hari ini memperingati tragedi pembunuhan beramai-ramai Srebrenica yang dipercayai didalangi Ratko Mladic dan Radovan Karadzic, yang akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan.


Bagaimanapun bagi kebanyakan mereka yang terselamat dan saudara mara ribuan mangsa pembunuhan besar-besaran paling buruk di Eropah selepas Perang Dunia Kedua itu, usaha mencari keadilan disifatkan mereka terlalu sedikit dan lambat.


Suami Muniba Cakar merupakan antara 520 mangsa yang dikebumikan di pusat peringatan khas di Potocari dekat Srebrenica, menjelang ulang tahun ke-17 kejatuhan bandar ini kepada tentera Serb Bosnia pada 11 Julai 1995.


Rangkanya akan disemadikan bersama-sama 5,137 mangsa lain yang dikebumikan dalam satu kubur besar.


"Agak menyakitkan bagi saya untuk menonton perbicaraan itu. Saya rasa tidak selesa. Kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah dengan mengatakan ia bukan pembunuhan beramai-ramai.


"Saya rasa, semuanya boleh dibuktikan dengan hanya datang ke sini dan melihat perkuburan yang luas ini. Kalau bukti ini masih belum cukup, kita mungkin patut gugurkan kes ini,'' tegas wanita berusia 63 tahun itu kepada AFP.


Rangka yang bakal disemadikan esok merupakan antara mangsa Srebrenica yang baru dikenal pasti selepas ia ditemui di tertanam di perkuburan-perkuburan besar di seluruh negara.


Perbicaraan komander Serb Bosnia, Mladic yang mengetuai serangan di Srebrenica dimulakan semula minggu ini di The Hague, manakala Karadzic juga dibicarakan di Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia (ICTY) dengan kes pembelaannya bermula Oktober ini.


Kedua lelaki itu berhadapan tuduhan melakukan pembunuhan kaum dengan mendalangi pembunuhan beramai-ramai hampir 8,000 lelaki Islam dan kanak-kanak di Srebrenica, bandar timur Bosnia sepanjang beberapa hari.


Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah. - AFP

No comments:

Post a Comment