Pages

Friday, July 13, 2012

Myanmar tolak etnik Rohingya



Gambar fail bertarikh 13 Jun lalu merakamkan beberapa orang wanita dan kanak-kanak Rohingya menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Naf ke Bangladesh bagi melarikan diri dari keganasan etnik di Rakhine,, barat Myanmar. - AFP

YANGON 12 Julai - Presiden Myanmar, Thein Sein hari ini memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa penyelesaian kepada konflik agama di negeri Rakhine adalah hanya dengan menghantar etnik Rohingya beragama Islam ke khemah-khemah pelarian atau mengusir mereka.


Laman web rasmi Presiden Myanmar melaporkan Thein Sein berkata, Myanmar akan bertanggungjawab terhadap kepada rakyatnya, tetapi tidak akan menerima etnik Rohingya yang memasuki negara ini secara haram.


Beliau berkata, krisis itu hanya boleh diselesaikan melalui satu pendekatan iaitu menghantar etnik Rohingya yang berjumlah kira-kira 800,000 di Myanmar dan dianggap golongan minoriti paling ditindas, ke khemah pelarian yang diselia Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).


"Kami akan menghantar etnik Rohingya ke mana-mana negara dunia ketiga yang mahu menerima mereka,'' katanya kepada Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Guterres.


Beliau berkata, ia merupakan penyelesaian kepada konflik etnik dan agama di Rakhine yang difikirkan oleh pihaknya.


Keganasan etnik dan agama melanda Rakhine antara etnik Rakhine beragama Buddha dan etnik Rohingya pada Jun lalu, memaksa berpuluh ribu orang meninggal kediaman mereka bagi menyelamatkan diri.


PBB berkata, diskriminasi sejak berdekad-dekad lalu menyebabkan etnik Rohingya tidak dianggap sebagai rakyat Myanmar dengan kerajaan dilapor mengehadkan pergerakan serta tidak membenarkan kumpulan itu memiliki tanah, pendidikan dan menikmati perkhidmatan lain.


Menurut UNHCR, kira-kira satu juta etnik Rohingya dipercayai tinggal di luar Myanmar, namun mereka tidak diterima oleh mana-mana negara dunia ketiga.


Bangladesh telah mengusir bot-bot membawa etnik tersebut sejak keganasan tercetus di Rakhine.


Jurucakap UNHCR Asia, Kitty McKinsey berkata, pada asasnya, Myanmar tidak menganggap penduduk Islam di utara Rakhine sebagai warganegara mereka.


"Kami merasakan penyelesaiannya adalah memberikan mereka status kewarganegaraan Myanmar,'' ujarnya. - AFP

No comments:

Post a Comment