Pages

Friday, July 27, 2012

Militan Taliban ancam serang Myanmar



ISLAMABAD 26 Julai - Rangkaian pengganas Taliban di negara ini, Tehreek-e-Taliban (TTP) mengancam menyerang Myanmar bagi membalas dendam terhadap penindasan ke atas etnik Rohingya, jika Pakistan tidak menghentikan semua hubungan dengan Yangon dan menutup kedutaan Myanmar di sini.
Tehreek-e-Taliban dalam satu kenyataan mengenai penderitaan penganut Islam di luar negara, berkata, mereka akan membalas dendam dengan 'menumpahkan darah'.
Jurucakap kumpulan itu, Ehsanullah Ehsan mendesak kerajaan Pakistan menghentikan semua hubungan dengan Yangon dan menutup kedutaan Myanmar di sini.
''Jika tidak, kami tidak hanya akan menyerang kepentingan Yangon tidak kira di mana pun, termasuk menyerang rakyat Myanmar di Pakistan,'' katanya dalam satu kenyataan.
Kedutaan Myanmar di Islamabad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan.
Kumpulan itu sering mendakwa melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Pakistan tetapi kemampuannya untuk berbuat demikian di luar negara dipersoalkan.
Bagaimanapun, pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, terdapat bukti kumpulan itu mendalangi satu cubaan untuk melancarkan bom di Times Square, New York yang menyaksikan seorang rakyat AS-Pakistan, Faisal Shahzad dipenjarakan seumur hidup.
Ketua Tehreek-e-Taliban, Hakimullah Mehsud juga didakwa di AS kerana membunuh tujuh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang maut apabila seorang ejen talam dua muka al-Qaeda meletupkan dirinya di pangkalan AS di Afghanistan pada Disember 2009.
Pertempuran baru-baru ini di Rakhine antara penduduk Buddha dan etnik Rohingya menyebabkan berpuluh-puluh orang maut dan berpuluh ribu orang kehilangan tempat tinggal.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu menggesa Presiden Myanmar, Thein Sein menangani isu penderitaan etnik Rohingya mengikut standard hak asasi antarabangsa.
Beliau dalam sepucuk surat yang dihantar kepada pemimpin Yangon itu, mahu Thein Sein memberi jaminan keselamatan di atas etnik Rohingya sebagai penduduk Myanmar dan menamatkan semua bentuk penindasan. - AFP/BERNAMA

No comments:

Post a Comment