WASHINGTON 4 Julai - Pakistan bersetuju membuka semula laluan utama saluran bekalan ke Afghanistan semalam, sekali gus menamatkan ketegangan selama beberapa bulan dengan Amerika Syarikat (AS).
Persetujuan itu dibuat selepas Setiausaha Jabatan Negara AS, Hillary Rodham Clinton memohon maaf atas kematian tentera Pakistan akibat serangan udara tentera AS.
Menurut pegawai AS, keputusan itu juga adalah sebahagian daripada persetujuan Washington untuk mencairkan kira-kira AS$1.1 bilion (RM3.5 bilion) ‘dana sokongan gabungan’ yang diwujudkan untuk membayar balik kepada Pakistan atas operasinya membanteras pengganas.
Dana itu sebelum ini dibekukan selepas tercetusnya ketegangan antara kedua-dua negara itu.
Persetujuan itu telah menamatkan perselisihan diplomatik selama tujuh bulan antara AS-Pakistan yang sebelum itu sememangnya tegang ekoran insiden pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, menyebabkan usaha AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memerangi Taliban di Afghanistan terhalang.
Pengumuman persetujuan itu dibuat oleh Clinton selepas beliau bercakap melalui telefon dengan Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar selepas beberapa bulan berunding.
Islamabad, sekutu utama AS memerangi Taliban, sebelum ini bertegas mahu Washington memohon maaf atas insiden serangan pada November lalu apabila pesawat AS tersalah melakukan serangan sehingga menyebabkan 24 tentera Pakistan terbunuh.
“Khar dan saya telah menyedari satu kesilapan telah berlaku yang mengakibatkan kematian tentera Pakistan.
“Kami memohon maaf atas penderitaan yang dialami oleh tentera Pakistan dan kami komited untuk bekerjasama dengan Islamabad dan Kabul bagi mengelak kejadian ini berulang," kata Clinton dalam kenyataannya.
Pakistan dalam pada itu mengesahkan bersetuju membuka semula laluan ke Afghanistan yang penting bagi AS dan NATO untuk mengeluarkan tentera dan kelengkapannya dari Afghanistan menjelang tarikh akhir 2014. - AFP
No comments:
Post a Comment