Pages

Friday, July 27, 2012

Kehidupan di Syria semakin sukar, bahaya



SEPANG 26 Julai - Masalah bekalan elektrik terputus dua kali sehari selain catuan gas memasak menyebabkan urusan kehidupan seharian di Damsyik, Syria semakin sukar.
Menceritakan pengalaman itu, penuntut jurusan Dakwah Islamiah di Universiti Sheikh Ahmad Kiftaro, Siti Nur Afiqah Zahari, 20, bagaimanapun berkata, dia bernasib baik kerana semasa menghadapi peperiksaan bekalan elektrik pulih seperti sedia kala.
“Nasib baik bekalan elektrik tidak terputus ketika saya sedang menghadapi peperiksaan kerana jika tidak sudah tentu sukar untuk mengulang kaji pelajaran.
“Mengenai masalah mendapatkan gas memasak, saya dan teman serumah terpaksa memasak menggunakan elektrik. Walaupun sukar, ia tetapi terpaksa dilakukan untuk meneruskan hidup," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Siti Nur Afiqah merupakan salah seorang daripada kumpulan kedua seramai 100 penuntut Malaysia di Syria yang tiba di tanah air hari ini menerusi tiga penerbangan berasingan dengan penerbangan komersial.
Kepulangan mereka berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran krisis yang semakin meruncing antara Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan tentera kerajaan.
Seorang pelajar Maahad Fatah Islami, Khairul Nizam Mohd. Said, 31, pula berkongsi pengalaman mencemaskan melihat kereta kebal melintasi pintu rumah dan tembakan dilepaskan.
Khairul Nizam berkata, pengalaman menakutkan itu dialami bersama tiga lagi rakan serumahnya selama seminggu apabila pertempuran semakin sengit di antara kedua-dua pihak.
“Semasa pertempuran, rakan-rakan tidak tahu nak buat apa, kami hanya berdoa agar rumah tidak menjadi sasaran bom mahupun tembakan.
“Kami juga tidak berani untuk meninjau keadaan semasa di luar rumah, pada masa sama kami hanya berharap pihak FSA dan tentera kerajaan beredar dari kawasan kediaman," katanya.
Khairul Nizam bagaimanapun memberitahu, dia dan rakan-rakan tidak berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan makanan kerana telah membuat persiapan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
“Kami juga berpuasa seperti biasa, dan melakukan solat tarawih secara bersama di rumah," kata pelajar tahun pertama jurusan Syariah Islamiah itu.
Sementara itu, lepasan Universiti Fatah Islami, Nursuriati Zakaria, 27, berkata, risiko berhadapan dengan peluru sesat ekoran pertempuran FSA dan tentera kerajaan adalah detik paling mencemaskan sepanjang berada di Syria.
Katanya, dia bersama suami Mohd. Nasiruddin Jumain, 30, dan anak Mohd. Fatieh berusia setahun menjadikan rumah sebagai tempat berlindung dan sentiasa berkurung bagi mengelakkan situasi tidak diingini.
Nursuriati berkata, bunyi letupan dan tembakan yang kuat juga menyebabkan perasaan takut semakin menjadi-jadi sehingga tiada siapa berani keluar dari rumah.
“Keadaan tersebut menyebabkan saya sekeluarga sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyelamatkan diri.
“Bunyi tembakan dapat didengari dengan jelas dari tempat tinggal saya di kota Damsyik, malah ia lebih kerap berlaku menjelang tengah malam," katanya.

No comments:

Post a Comment