TEHERAN 3 Julai - Iran hari ini melancarkan ujian peluru berpandu balistik di tengah-tengah padang pasir negara ini yang dikatakan mampu sampai ke Israel.
Ia merupakan sebahagian daripada latihan perang yang diadakan bagi menunjukkan kemampuan Iran bertindak balas sekiranya ia diserang, lapor media tempatan.
Pengawal Revolusi Iran melancarkan peluru berpandu jarak sederhana, Shahab-3 itu pada sasaran olok-olok di Gurun Kavir pada hari kedua sesi latihan 'Great Prophet 7' yang akan berakhir esok, lapor rangkaian televisyen Iran, Al-Alam.
Shahab-3 mampu mencapai jarak sehingga 2,000 kilometer dan secara teorinya boleh sampai ke Israel, yang hanya berada kira-kira 1,000 kilometer dari Iran.
Menurut Al-Alam, dua peluru jarak sederhana iaitu Shahab-1 dan Shahab 2, yang masing-masing mampu mencapai jarak antara 300 kilometer hingga 500 kilometer juga dilancarkan.
Dalam pada itu, agensi berita Fars melaporkan, berpuluh-puluh peluru berpandu pelbagai jenis dilepaskan dari beberapa lokasi di Iran yang disasarkan ke Gurun Kavir.
''Dalam latihan ini, kita menggunakan peluru berpandu yang mampu mencapai jarak 2,000 kilometer, namun ia dipendekkan sehingga 1,300 kilometer sahaja,'' lapor Fars yang memetik ketua bahagian angkasa unit Pengawal, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh.
Sementara itu, agensi berita ISNA melaporkan, pada hari terakhir latihan itu pula, Pengawal Revolusi juga akan menggunakan 'pesawat pengebom tanpa pemandu'. - AFP
No comments:
Post a Comment