Pages
▼
Thursday, July 26, 2012
Ikhlaskah Saya?
“…dan tidaklah kalian diperintah kecuali beribadah kepada Allah dengan ikhlas..” (QS 98:5).
Ikhwani fillah, kita telah umumnya mengetahui bahawa syarat diterimanya amal adalah benar dan ikhlas. Benar mencontohi Rasulullah sementara ikhlas ditujukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Kedua-dua syarat itu sudah tentunya perlu mengiringi setiap amal yang kita lakukan agar kita layak menjejaki syurga Allah nanti pada hari akhirat.
Berbicara tentang ikhlas, ada tiga ciri keikhlasan yang perlu kita tahu. Pertama adalah memiliki perasaan sama ketika dipuji atau dicela. Tidak merasa bangga atau gembira ketika dipuji dan tidak sakit hati atau marah ketika dicela. Kedua adalah tidak merasa berjasa atau berprestasi dengan amalnya. “Saya adalah daripada ‘hulu sungai’ dakwah ini. Kamilah wakil rasmi gerakan Islam tersohor di dunia, yang lain semua tak betul. Sayalah yang pertama merintis pembinaan di medan dakwah itu dan ini. Kalau bukan saya yang organize program dakwah ini sudah tentu tak sehebat ni.” Kata-kata seperti ini adalah antara contoh-contoh gangguan syirik yang tersembunyi. Ketiga pula adalah mengharapkan pahala amal itu di akhirat tetapi tidak di dunia. Allah berfirman, “Sesungguhnya upah kami adalah dari Allah yang menciptakan kami.” (QS 11:51).
Dinukilkan beberapa kisah motivasi keikhlasan daripada para pendahulu kita untuk kita terus beringat menjaga kemurniaan amal kita agar kesemuanya diterima oleh Allah yang Maha Teliti.
Kisah pertama: Kisah kejujuran seorang Arab badwi
Syadad bin Al-Hadi mengatakan, seorang Arab gunung datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu beriman dan mengikutinya. Orang itu memberitahu, “Aku akan berhijrah bersamamu.” Maka Rasulullah s.a.w. menitipkan orang itu kepada para sahabatnya.
Saat terjadi Perang Khaibar, Rasulullah s.a.w. memperoleh ghanimah (rampasan perang). Lalu beliau membahagi-bahagikannya dan menyisihkan bahagian untuk orang itu seraya menyerahkannya kepada para sahabat. Orang itu biasa menggembalakan binatang ternak mereka. Ketika beliau datang, para sahabat menyerahkan bahagiannya itu. Orang itu bertanya, “Apa ini?” Mereka menjawab, “Ini adalah bahagianmu yang dibahagikan oleh Rasulullah s.a.w.” Orang itu memberitahu, “Aku mengikutimu bukan kerana ingin mendapatkan bahagian seperti ini. Aku mengikutimu semata-mata kerana aku ingin tertusuk dengan anak panah di sini (sambil menunjuk tenggoroknya), lalu aku mati dan masuk syurga.”
Rasulullah s.a.w. berkata, “Jika kamu jujur kepada Allah, maka Dia akan mengizinkan keinginanmu.” Lalu mereka berangkat untuk memerangi musuh. Para sahabat datang dengan memapah orang itu dalam keadaan tertusuk panah di bahagian tubuh yang ditunjuknya. Rasulullah s.a.w. berkata, “Inikah orang itu?” Mereka menjawab, “Ya.” Rasulullah s.a.w. berkata, “Dia telah jujur kepada Allah, maka Allah memakbulkan keinginannya.”
Lalu Rasulullah s.a.w. mengkafaninya dengan jubah beliau kemudian mensolatinya. Di antara doa yang terdengar dalam solatnya itu adalah: “Allaahumma haadza ‘abduka kharaja muhaajiran fii sabiilika faqutila syahiidan wa ana syahidun ‘alaihi” (Ya Allah, ini adalah hamba-Mu. Dia keluar dalam rangka berhijrah di jalan-Mu, lalu ia terbunuh sebagai syahid dan aku menjadi saksi atasnya).” (Diriwayatkan oleh An-Nasai)
Kisah kedua: Kisah Saahibun Naqab
Ada kisah masyhur Shahibun Naqab (Pemilik Lubang) yang diriwayatkan oleh Ibn Qutaibah dalam ‘Uyun Al-Akhbar, tentang seorang mujahid ketika peperangan pada masa Umayyah yang dipimpin oleh Maslamah bin Abdul Malik. Saat terjadi pengepungan sebuah benteng musuh, tak ada satupun sahabat yang berhasil membuka benteng itu. Dalam kesempatan itulah mujahid ini masuk dengan melubangi tembok benteng. Melalui lubang itulah tentera Islam yang lain kemudiannya berjaya merempuh masuk dan mengalahkan musuh. Selesai peperangan Maslamah meminta agar tenteranya yang melubangi tembok itu melapor kepadanya. Setelah sekian lama tidak ada yang melapor, sehingga waktu lewat malam akhirnya datanglah seorang yang bertopeng menemui Maslamah. “Aku akan beritahu siapa tentera yang melubangi benteng itu, dengan syarat; pertama, jangan tanya siapa namanya, kedua jangan dicatat dalam sejarah dan ketiga jangan diberi balasan apapun.” Setelah Maslamah menyanggupi, kemudian orang bertopeng itu memberitahu bahwa dialah orangnya dan terus lari ke dalam kumpulan tenteranya sehingga tidak dapat dikenalpasti di antara tentera-tenteranya yang ribuan itu siapakah sahibun naqab tadi. Sehingga Musailamah kemudian tidak akan meninggalkan selepas solatnya melainkan doa untuk menjadi orang yang bersama dengan sahibun naqab.
Kisah ketiga: Kisah Imam Syafi’e
Pernah Imam Syafi’e mengingatkan kepada murid-muridnya agar tidak menyebut namanya atau menghubungkan satu hurufpun kepada dirinya sebagai penguat hujjah kebenaran. Maksudnya “ini menurut Imam Syafi’e”…“ini diambil dari Kitab Al Umm karya Imam Syafi’i.” Bahkan Imam Syafi’i mengatakan,”..dan saya tidak saling bertukar pandangan dengan seseorang melainkan saya mengharapkan Allah menampakkan kebenaran atas lisanku atau lisannya”(Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam kitab Hilyatul Awliyaa’ (118/9).
Moga Allah melindungi kita daripada tergolong dalam golongan yang disebutkan dalam hadith ini;
“Rasulullah saw. bersabda, “Siapa yang ingin (amalnya) didengar orang, maka Allah akan membuatnya di dengar; dan siapa yang ingin (amalnya) dilihat orang, maka Allah akan membuatnya dilihat orang.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Kisah keempat: Kader yang berjuang atas asobiyyah
Soga Allah sentiasa mengikhlaskan niat kita dalam perjuangan ini agar tidak kerana jenama harakah kita berjuang. Adakah terlalu penting jenama harakah itu sehingga menafikan, merendah-rendahkan bahkan memburuk-burukkan usaha gerakan dakwah yang lain? Adakah dengan merasakan ‘izzah dengan label tertentu dapat menghindarkan diri kita daripada azab Allah dan masuk ke dalam Jannah-Nya. Walhal, kita sedar setiap daripada kita akan datang seorang demi seorang untuk dihisab oleh Allah ta’ala.
“Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri.” (Maryam:95)
Kisah Quzman mudah-mudahan sebagai iktibar agar kita tidak terjerumus menjadi pejuang yang berjuang atas asobiyah kita. Sebagaimana yang diceritakan oleh Qatadah radiallahu ‘anhu;
Beliau menjelaskan, “Di antara kami ada orang asing dan diketahui siapa dia. Ia dipanggil Quzman. Adalah Rasulullah s.a.w. setiap kali disebut namanya selalu mengatakan bahawa dia termasuk penghuni neraka. Saat terjadi Perang Uhud, Quzman terlibat dalam pertempuran sengit sampai berhasil membunuh lapan atau tujuh orang musyrik. Memang dia orang kuat. Lalu ia terluka dan dipapah ke rumah Bani Zhufr. Beberapa lelaki dari kaum Muslimin mengatakan kepadanya, ‘Demi Allah, engkau telah diuji hari ini, hai Quzman, maka berbahagialah.’ Quzman menjawab, ‘Dengan apa aku bergembira. Demi Allah sesungguhnya aku berperang tidak lain kerana membela nama kaumku. Jika bukan kerana hal itu aku tidak akan turut berperang. Ketika merasakan lukanya semakin parah, ia mencabut panah dari tempatnya lalu bunuh diri.” (Al-Bidayah Wan-Nihayah, Ibnu Katsir)
Ikhwani fillah, keinginan kita untuk sentiasa ikhlas hendaknya jangan menjadi penghalang kita untuk menjadi pasif atau takut beramal. Syeikh Fudhail bin Iyadh memberikan batasan:
“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’ dan beramal untuk manusia adalah syirik.”
Maksudnya janganlah kerana takut riya’ kemudian kita enggan beramal. Seharusnya kita terus perbanyakkan amal tanpa peduli dilihat atau tidak dilihat manusia dan pada masa yang sama berusahalah untuk tidak terjatuh dalam riya’. Jadikanlah keikhlasan kita sebagai pemangkin keaktifan dan kegigihan kita dalam berdakwah sehingga kita mengorbankan apa sahaja yang kita punyai demi menegakkan agama di atas muka bumi ini. Sebagaimana yang disebutkan dalam Al Qur’an akan keikhlasan yang bersifat aktif yang dimiliki oleh para salafus soleh terdahulu:
“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.” (Al-Baqarah: 207)
Asbabun Nuzul ayat ini seperti yang diketengahkan oleh Harits bin Abu Usamah dalam musnadnya dan Ibnu Abu Hatim dari Said bin Musayyab, katanya, “Shuhaib (dari Romawi) pergi berhijrah kepada Nabi s.a.w. lalu beliau diikuti oleh orang-orang Quraisy, beliau turun dari atas kenderaannya dan mengeluarkan semua isi kantung anak panahnya, lalu beliau berkata, “Hai mana golongan Quraisy? Tuan-tuan telah mengetahui bahwa aku ini adalah orang yang paling ahli dalam memanah. Demi Allah, belum lagi tuan-tuan sampai kepada saya di sini, saya telah berhasil melepaskan semua anak panah dari kantung ini, kemudian aku tebas dengan pedang sisa tuan-tuan yang masih hidup. Terserah tuan-tuan apa yang akan tuan-tuan pilih! Tetapi jika tuan-tuan mahu, saya akan menunjukkan tempat simpanan harta saya di Mekah dengan syarat tuan-tuan tidak akan menghalangi saya dan biarkan saya pergi!”. “Baiklah, kalau begitu!”, ujar mereka. Dan ketika beliau datang ke Madinah untuk menemui Nabi s.a.w. maka baginda bersabda, “Beruntung perdagangan Abu Yahya (nama panggilan Shuhaib), dan beruntunglah usahanya!” Ketika itu turunlah ayat, “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.” (Al-Baqarah: 207). Diketengahkan pula oleh Hakim dalam Mustadrak yang sama dengan itu, yakni dari jalur Ibnu Musayyab dari Shuhaib secara mausul. Dan dikeluarkannya lagi seperti itu dari mursal Ikrimah juga dari jalur-jalur Hamad bin Salamah dari Tsabit dan Anas di mana ditegaskan turunnya ayat. Katanya pula, hadith ini sahih menurut syarat Muslim. Diketengahkan lagi oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah, katanya, “Ayat ini turun buat Shuhaib, Abu Dzar dan Jundub bin Sakan yakni oleh seorang keluarga Abu Dzar.”
Ikhwatul ahibba’, ketahuilah bahawa semerbaknya amal dilatarbelakangi oleh keikhlasan. Tersebarluasnya dakwah ke seluruh penjuru dunia adalah contoh nyata hasil kerja peribadi-peribadi yang ikhlas. Mereka tidak menyalahkan kelemahan dan kekurangan saudara mereka yang lain sebagai alasan untuk kurang beramal dalam dakwah dan tarbiyah. Bahkan mereka terlebih dahulu melihat kesulitan yang dihadapi mereka adalah daripada kelemahan dan kekurangan diri mereka sendiri. Lihatlah bagaimana murabbi agung, Rasulullah s.a.w. bersikap ketika dakwahnya ditolak dengan kekerasan oleh para penduduk Taif. Ketikamana baginda berteduh di bawah sepohon anggur, baginda mengadu kepada Sang Pencipta;
“Ya Allah, aku mengadu kepadaMu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkaulah Tuhan golongan yang lemah dan Engkau juga Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripadaMu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahanMu atau kemurkaanMu terkena kepadaku. Engkau berhak untuk mencela aku sehingga Engkau redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan denganMu.” (Petikan dari kitab Sirah Nabawiah – Ibnu Hisyam).
Subhana Allah, betapa tawadhu’nya doa Nabi s.a.w. yang langsung tidak menyalahkan penduduk Taif yang telah membaling batu kepadanya bertubi-tubi sehingga berdarah dan sesekali rebah ke tanah. Bahkan Zaid bin Haritsah r.a. yang menjadikan dirinya sebagai perisai Nabi s.a.w. turut berdarah di kepalanya. Hasilnya, bumi Taif menjadi wilayah Islam dan majoriti penduduknya sehingga ke hari ini adalah muslim.
Sebagai penutup, Ustaz Hasan Al Banna rahimahullah menjelaskan tentang ikhlas. “Ikhlas adalah seorang muslim dengan perkataannya, amalnya, jihadnya dan semuanya diniatkan kerana Allah s.w.t., mengharapkan redhaNya dan balasan yang baik tanpa melihat keuntungan mahupun label penampilan, gelaran di depan atau di belakang namanya. Dengan demikian itu, dia menjadi perajurit aqidah dan fikrah, bukan perajurit atau pejuang kepentingan dan manfaat.
“Sesungguhnya amal seseorang bergantung pada niat, dan dia akan memperoleh apa yang dia niatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment