Pages

Thursday, July 26, 2012

Damsyik beri jaminan kawal senjata kimia

MOSCOW: Syria memberi jaminan bahawa senjata kimia negara itu dalam keadaan selamat, kata Timbalan Menteri Luar Russia, semalam.
Kenyataan Gennady Gatilov itu turut disertakan dengan gesaan sekali lagi supaya Damsyik tidak menggunakan senjata simpanannya itu. “Kami menerima jaminan tegas dari Damsyik bahawa keselamatan senjata itu dipastikan sepenuhnya,” katanya dalam temu bual dengan agensi berita ITAR-TASS, semalam. Gatilov berkata, sebagai negara yang menandatangani protokol mengharamkan senjata kimia, Syria “mengambil tanggungjawab penuh untuk mengecam kaedah perang seumpama itu.” Justeru, kata Gatilov, Moscow menganggap Damsyik mesti memenuhi tanggungjawab seperti dinyatakan dalam protokol berkenaan.

Bagaimanapun, Gatilov mengingatkan, apa saja jaminan rejim Presiden Bashar al-Assad, senjata kimia itu mungkin jatuh ke ke tangan pihak pembangkang. “Kita jangan lupa bahawa pihak satu lagi bertindak di sana sini dan tidak mustahil senjata berkenaan jatuh ke dalam penguasaan mereka,” katanya. Isnin lalu, Syria mengakui memiliki senjata kimia dan memberi amaran, walaupun tidak akan digunakan ke atas rakyat negara itu, ia mungkin digunakan jika negara itu diserang pihak luar. - AFP

No comments:

Post a Comment