DAMSYIK: Russia semalam menuduh Barat cuba memutarbelitkan persetujuan mengenai peralihan kuasa di Syria selepas duta damai antarabangsa, Kofi Annan berkata, gencatan senjata di negara itu perlu dilaksanakan.
Menteri Luar, Sergei Lavrov mengalu-alukan perjanjian Geneva berdasarkan cadangan Annan dengan menyifatkannya sebagai langkah penting.
Beliau bagaimanapun menuduh Barat cuba memutarbelitkan perjanjian itu.
“Perjanjian itu bukan untuk ditakrifkan. Maksud sebenar perjanjian itu adalah seperti yang terkandung di dalamnya dan kita perlu patuh dengan perjanjian yang telah dicapai,” kata Lavrov.
Beliau berkata demikian sebaik saja jurucakap Annan, Ahmad Fawzi memberitahu wartawan, perubahan pendirian Russia dan sekutu diplomatiknya, China pada rundingan Geneva tidak boleh diperkecilkan.
Sabtu lalu, kuasa dunia bersetuju terhadap rancangan peralihan kuasa di Syria tetapi tidak membuat sebarang gesaan secara khusus supaya Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan.
Bagaimanapun, Barat serta-merta menjelaskan, mereka tidak melihat sebarang peranan untuk Bashar dalam kerajaan perpaduan Syria. - AFP
No comments:
Post a Comment