Pages

Wednesday, July 18, 2012

AS, Israel bersatu sekat hasrat Iran

BAITULMAQDIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton semalam berkata, Washington akan menggunakan seluruh kekuatannya untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Menurutnya, Amerika Syarikat bekerjasama rapat dengan Israel untuk tujuan itu.

Bercakap kepada wartawan selepas lawatan 24 jamnya ke Baitulmaqdis, Hillary berkata, Iran masih belum mengambil keputusan untuk mengekang impian nuklearnya.
“Kami akan menggunakan semua elemen kekuatan Amerika untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear,” katanya dalam kenyataan yang membayangkan ancaman tindakan ketenteraan, pilihan yang tidak pernah ditolak oleh Washington.

Menurutnya, atas usaha Amerika Syarikat untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa bagi menangani ancaman nuklear Iran, Teheran kini berdepan dengan tekanan paling berat pernah dihadapinya, menggambarkan bahawa pentadbiran Obama mengadakan kerjasama rapat dengan Israel mengenai perkara itu.

“Adalah adil untuk berkata bahawa kami berusaha bersama-sama untuk memberi kesan maksimum mengenai keputusan yang diambil Iran,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu.
Hillary tiba di Israel awal semalam pada penghujung lawatannya ke sembilan negara dan berunding dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, Presiden Shimon Peres, Menteri Pertahanan, Ehud Barak dan Menteri Luar, Avigdor Lieberman.

Israel sebelum ini memberi amaran, Iran akan menjadi ancaman kepada kewujudan negara Yahudi itu jika ia memiliki senjata nuklear dan tidak menolak tindakan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear Republik Islam berkenaan. Peres bagaimanapun menyuarakan keyakinan terhadap pendirian tegas Washngton ke atas Iran.
Diplomat Amerika itu juga memberi taklimat kepada pemimpin rejim Zionis berkenaan mengenai perbincangannya dengan presiden baru Mesir, Mohamed Mursi dan meyakinkan mereka bahawa pentadbiran baru Kaherah menegaskan sekali lagi sokongan mereka terhadap perjanjian damai dengan negara Yahudi itu yang ditandatangani lebih 30 tahun lalu.

Mengenai penyambungan semula rundingan damai antara Israel dengan Palestin beliau berkata, ia hanya boleh diadakan sekiranya kedua-dua pihak bersungguh-sungguh berusaha ke arah keamanan. - AFP

No comments:

Post a Comment