Pages

Friday, June 29, 2012

‘Turki sedia angkatan perang’

ERDOGAN memberikan isyarat bagus dari kokpit pesawat Hurkus pada satu majlis di Industri Angkasa Lepas Turki di Ankara, kelmarin. - Foto REUTERS

ERDOGAN memberikan isyarat bagus dari kokpit pesawat Hurkus pada satu majlis di Industri Angkasa Lepas Turki di Ankara, kelmarin. - Foto REUTERS
ANKARA: Turki menempatkan senjata antipesawat dan kelengkapan perang lain di sepanjang sempadannya dengan Syria, lapor televisyen semalam, beberapa hari selepas tentera Syria menembak jatuh jet tentera Turki menyebabkan ketegangan kedua-dua negara. 

Konvoi kecil trak tentera yang menunda senjata antipesawat, memasuki pangkalan luar tentera di kampung Guvecci, yang berdepan pangkalan luar tentera Syria di seberang sempadan dan lokasi tentera dan pemberontak negara itu bertempur beberapa bulan lalu, lapor televisyen TRT.
Beberapa senjata antipesawat juga ditempatkan di beberapa kawasan lain sepanjang sempadan. Beberapa trak dilihat membawa pelancar roket.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, Selasa lalu memberi amaran mana-mana unit tentera Syria yang mendekati sempadannya akan dianggap ancaman. 
Sekutu Turki, pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan sokongan kepada Ankara dan mengutuk serangan Syria tetapi tidak menyebut mengenai serangan ke atas Damsyik. 

Penempatan tentera itu dibuat sebelum Presiden Abdullah Gul mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan semalam, lapor TRT. Mesyuarat itu, yang dihadiri anggota Kabinet dan pegawai kanan tentera, dijangka memberi tumpuan kepada ketegangan dengan Syria. 

Turki dan Syria mempunyai hubungan rapat sebelum kebangkitan bermula Mac 2011, tetapi sejak itu Turki menjadi pengkritik terhadap rejim Syria dan berulang kali menggesa Presiden Bashar al Assad supaya meletak jawatan ketika 33,000 rakyat negara itu mendapatkan perlindungan di Turki. 
Turki turut memberikan tempat kepada kumpulan pembangkang awam selain beratus-ratus anggota tentera berpaling tadah mempunyai kaitan dengan Tentera Bebas Syria. 

Seorang menteri Syria kelmarin, berkata tentera negaranya tersalah sangka pesawat Turki ditembak jatuh itu milik Israel. 

Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoebi, memberitahu rangkaian A Haber di Turki kelmarin, negaranya tidak mahu sebarang krisis dengan Turki. 

Al-Zoebi berkata, jet Turki dan Israel kebanyakannya buatan Amerika membawa kepada kesilapan tentera Syria yang menyangka ia jet Israel. – AP

No comments:

Post a Comment