Pages

Saturday, June 23, 2012

Taliban serbu hotel, 18 terbunuh


PEMANDANGAN perkarangan Hotel Spozhmai di pinggir Kabul selepas serangan kumpulan Taliban berakhir semalam.


KABUL - Sekumpulan empat orang militan Taliban bersenjata api dan pelancar roket menyerang sebuah hotel tepi tasik di sini dan menjadikan berpuluh-puluh orang termasuk wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.
Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan nekad tersebut.
Pemerintah mengambil masa 12 jam untuk mengisytiharkan serangan ke atas Hotel Spozhmai yang berakhir dengan kesemua empat militan itu dibunuh.
Terdahulu, pasukan keselamatan berjaya membebaskan sejumlah tebusan di hotel sama.
Komander Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai pasukan tentera Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan berkata, rangkaian Haqqani yang merupakan cabang kumpulan Taliban, bertanggungjawab melancarkan serangan ganas ala komando itu.
Rangkaian Haqqani dipercayai mempunyai hubungan dengan pergerakan Al-Qaaeda.
Kejadian yang bermula malam kelmarin itu merupakan serangan terbaharu ke atas hotel dan beberapa kepentingan pemerintah serta Barat di sini.
Spozhmai menjadi lokasi tumpuan golongan elit di sini dengan hotel berkenaan dipenuhi pengunjung termasuk sejumlah keluarga kelmarin, menjelang cuti hujung minggu pada keesokan harinya di Afghanistan.
Kumpulan militan tersebut menyerbu masuk ketika para pengunjung berkumpul untuk makan malam di hotel berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kabul, Mohammad Zahir berkata, sekurang-kurangnya seorang militan meletupkan jaket berisi bom yang dipakainya.
Seorang saksi, Sharifullah, 30, memberitahu, dia pergi ke hotel berkenaan untuk makan malam dengan seorang rakan.
"Saya melihat tiga lelaki bersenjata memasuki kawasan di mana orang ramai dan keluarga berkumpul. Sejurus selepas itu, tembakan dilepaskan dengan para pengunjung panik dan mula menjerit," katanya.
"Saya terjun ke dalam sebatang parit dan melihat peluru mengenai seorang bapa, anak lelaki dan isterinya yang duduk di sekeliling meja berhampiran. Saya tidak pasti sama ada mereka selamat," tambahnya.
Kementerian Dalam Negeri Afghanistan menyatakan serangan tersebut berakhir pada pukul 11 pagi semalam apabila penyerang keempat dibunuh. - AFP

No comments:

Post a Comment