Pages

Sunday, June 24, 2012

Syria tembak pesawat Turki

Pesawat pejuang Turki F-4 berlepas dari lapangan terbang Erhac di timur wilayah Malatya sebelum terputus hubungan. Syria mengesahkan menembak jatuh pesawat itu, semalam. - AGENSI
DAMSYIK 23 Jun - Syria hari ini mengesahkan pihaknya menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Turki yang memasuki ruang udara negara ini, mencetuskan krisis baru antara dua negara jiran itu.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pihaknya akan mengambil semua langkah sepatutnya selepas Syria mengesahkan fakta pesawat pejuang F-4 itu ditembak di kawasan perairan Laut Mediterranean semalam.
Perdana Menteri Turki mengadakan satu pertemuan khas dengan ketua tentera dan agensi perisikan serta menteri-menteri utama sejurus selepas hubungan terputus dengan pesawat itu.
‘‘Turki akan mengumumkan tindakannya selepas mengambil tindakan sepatutnya setelah semua hal berhubung kejadian itu dijelaskan,’’ katanya selepas pertemuan tersebut.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu menjadi tegang ketika Ankara mengambil tindakan tegas berhubung tindakan kekerasan Damsyik terhadap pemberontakan rakyat dengan memberikan perlindungan kepada askar Syria yang berpaling tadah.
Agensi berita rasmi Syria, SANA mengesahkan Damsyik menembak pesawat pejuang tersebut dalam laporannya awal pagi ini.
‘‘Satu sasaran tidak dikenal pasti memasuki ruang udara Syria dari arah barat dengan terbang rendah dan pada kelajuan tinggi di kawasan perairan,’’ kata agensi berita tersebut yang memetik seorang jurucakap tentera.
Jurucakap itu berkata, pasukan anti-pesawat melepaskan tembakan dan mengenai pesawat itu ketika ia berada kira-kira satu kilometer dari tanah besar.
‘‘Ia terhempas kira-kira 10 kilometer dari wilayah Latakia di kawasan perairan Syria,’’ tambahnya.
Tentera laut kedua-dua negara tersebut kini bekerjasama mencari dua anak kapal pesawat pejuang itu, lapor SANA. - AFP

No comments:

Post a Comment