Pages

Thursday, June 28, 2012

Syiling lama cecah RM16 juta

Syiling lama cecah RM16 juta
Abidin menunjukkan dua syiling berusia lebih 200 tahun (kiri) dan juga 90 keping syiling lama dari pelbagai negara yang menjadi koleksi berharga.
PASIR PUTEH - Pesara tentera mendakwa memiliki syiling lama berusia 242 tahun yang nilainya dikatakan boleh mencecah RM16 juta sekiranya, dilelong di pasaran Amerika Syarikat.

Duit syiling lama berukuran 3.8 sentimeter (sm) yang tertera perkataan `Vtraque Vnum’ itu tidak dapat dipastikan nilai sebenar mata wangnya, tetapi difahamkan ia merupakan antara yang paling sukar ditemui.

Abidin Ghani, 56, dari Taman Sri Aman, di sini, berkata, berdasarkan fakta sejarah, syiling lama termahal di dunia adalah American Silver Dollar keluaran 1794 yang dijual RM23.5 juta dalam acara lelongan baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, syiling yang dimiliki adalah 24 tahun lebih awal jika dibandingkan American Silver Dollar itu.

“Saya mendapatkan pengesahan daripada beberapa pakar mata wang termasuk pengumpul barangan antik dan mereka mengatakan duit syiling itu adalah asli.

“Walaupun ia merupakan koleksi paling lama usianya, syiling ini masih dalam keadaan baik dan sempurna,” katanya.

Selain syiling berkenaan, bapa kepada lima anak itu turut memiliki duit syiling lama satu sen berukuran 2.7 sm yang tertera perkataan Kerajaan Terengganu Berhad dalam tulisan Jawi.

Abidin turut memiliki 20 keping wang kertas lama termasuk wang kertas yang dikeluarkan pada masa pemerintahan Negeri-negeri Bersekutu.

“Semua ini adalah koleksi arwah ayah saya kerana dia sentiasa merantau ke negara luar semata-mata untuk mendapatkan syiling lama.

“Saya menyimpannya selama 40 tahun dan pernah didatangi beberapa lelaki yang berhasrat meminjam beberapa syiling lama untuk tujuan memuja nombor ekor, saya tidak bersetuju kerana
tahu perbuatan itu syirik,” katanya.

Abidin berkata, pengalamannya sebagai pengumpul syiling lama menemukannya dengan pelbagai peristiwa aneh termasuk gangguan makhluk halus.

“Saya tidak melupakan peristiwa di mana saya dan keluarga tidak dapat tidur kerana diganggu makhluk halus selepas berjaya mendapat syiling lama dari Indonesia,” katanya.

No comments:

Post a Comment