Pages

Friday, June 15, 2012

Shafiq boleh bertanding

PENUNJUK perasaan Mesir membakar gambar Ahmed Shafiq selepas mahkamah membenarkan Perdana Menteri era Mubarak bertanding dalam pusingan kedua pilihan raya presiden esok. - Foto AP

PENUNJUK perasaan Mesir membakar gambar Ahmed Shafiq selepas mahkamah membenarkan Perdana Menteri era Mubarak bertanding dalam pusingan kedua pilihan raya presiden esok. - Foto AP
KAHERAH: Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir semalam memutuskan bahawa undang-undang melarang pegawai era Hosni Mubarak, daripada bertanding pilihan raya presiden termasuk bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq, adalah tidak sah.

“Mahkamah memutuskan undang-undang itu menyalahi perlembagaan,” kata agensi berita Mesir, MENA.
Keputusan itu bermakna, Shafiq akan menentang calon Parti Kebebasan dan Keadilan dari Ikhwanul Muslimin, Mohamed Mursi, pada pusingan kedua pilihan raya presiden Mesir, esok.
Keputusan itu dibacakan selepas mahkamah membuat penelitian dan penilaian ke atas undang-undang mengharamkan pegawai kanan yang berkhidmat dengan bekas presiden Hosni Mubarak daripada menyertai pilihan raya.

Undang-undang berkenaan sebelum itu terpakai bagi mereka yang berkhidmat dalam tempoh 10 tahun terakhir pemerintahan diktator berkenaan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa satu pertiga kerusi di dewan rendah yang dikuasai puak Islam April lalu sebagai tidak sah, sekali gus mencetuskan keadaan politik tidak menentu di Mesir.

“Mahkamah memutuskan beberapa fasal di bawah undang-undang pilihan raya parlimen berkaitan sistem undi secara terus adalah tidak sah dan menyalahi perlembagaan,” lapor MENA merujuk kepada satu pertiga kerusi yang dipertandingkan selepas satu sistem pengundian dipersetujui Majlis Tentera. 
Di bawah sistem pilihan raya yang rumit itu, pengundi dibenarkan mengundi parti yang mendapat dua pertiga majoriti di parlimen dan calon persendirian bagi satu pertiga kerusi lagi di dewan rendah.

Calon persendirian sepatutnya anggota bebas, tetapi ahli mana-mana parti politik juga dibenarkan bertanding, sekali gus memberi peluang kepada Parti Kebebasan dan Keadilan Ikhwanul Muslimin untuk menang besar. Keputusan itu kini dicabar di mahkamah.

Speaker Parlimen, Saad al-Katatni berkata dewan terpaksa menimbang bagaimana keputusan itu akan dilaksanakan.

“Masalahnya, kita tiada perlembagaan ketika ini kerana ia digantung tahun lalu. Berikutan itu, tiada siapa berhak membubarkan parlimen,” katanya.

Di luar mahkamah di selatan Kaherah, beratus-beratus penunjuk perasaan melaungkan slogan menentang Shafiq dan mendesak undang-undang itu disahkan.
“Rakyat mahu saki-baki rejim lama dihapuskan,” teriak seorang penunjuk perasaan. – AFP

No comments:

Post a Comment