Pages

Thursday, June 14, 2012

Rangka askar mati pada tahun 1815 ditemui



PELURU berbentuk bola yang terdapat pada celah rangka itu.


BRUSSELS - Hampir 200 tahun selepas tentera Prussia dan England menewaskan askar-askar Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte di Waterloo, sepasukan ahli arkeologi Belgium akhirnya menemui satu rangka seorang askar muda pada 8 Jun lalu.
"Anda hampir dapat membayangkan keadaan askar itu yang sedang nazak," kata seorang pakar arkeologi Belgium, Dominique Bosquet mengenai rangka manusia tersebut.
Peluru berbentuk bola berada di celah tulang rusuk askar itu.
"Rangka manusia ini masih sempurna," kata Bosquet kepada stesen televisyen RTL kelmarin.
Dipercayai mati pada 18 Jun 1815, rangka manusia tersebut ditemui tertanam 40 sentimeter di bawah tanah.
Pakaian seragam askar itu telah reput tetapi ahli arkeologi akan melakukan kajian ke atas sebatang sudu, kepingan duit syiling, serpihan kayu bertulisan C.B dan tali pengikat kulit yang ditemui bersama rangka tersebut. Ia dikaji bagi mengenal pasti identiti askar itu.
Rangka itu ditemui oleh pasukan arkeologi di sebuah kawasan yang dikuasai askar England ketika perang Waterloo berlaku.
Kawasan berkenaan diratakan pada bulan lalu bagi memberi laluan kepada satu projek pembangunan.
Peperangan itu yang melibatkan 125,000 askar Napoleon dan 210,000 anggota tentera Prussia dan England telah meragut lebih 12,000 nyawa. - AFP

No comments:

Post a Comment