Pages

Sunday, June 24, 2012

Presiden ada empat anak luar nikah disingkir

Fernando Lugo
Fernando Lugo



ASUNCION: Kongres Paraguay semalam menyingkirkan Presiden Fernando Lugo daripada jawatannya, selepas satu undi tidak percaya yang beliau dakwa sebagai rampasan kuasa, tetapi memberi jaminan akan menerimanya. 

Lugo, bekas paderi yang bertanding jawatan presiden, didapati bersalah berikutan kesilapannya mengendalikan pertempuran bersenjata berkaitan perebutan tanah yang menyebabkan 17 polis dan petani terbunuh minggu lalu, selain skandal seks membabitkan empat anak luar nikah yang dilahirkan beberapa teman wanitanya.
“Walaupun undang-undang yang ada diputarbelitkan, saya menerima keputusan Kongres.
“Sejarah Paraguay memang sudah lama tercemar,” kata Lugo ketika menyampaikan ucapan ke seluruh negara yang disiarkan secara langsung. 

Beliau digantikan timbalan presidennya yang berhaluan kiri Federico Franco, bagi melengkapkan tahun terakhir beliau menyandang jawatan. 

Ketika berkempen dalam pilihan raya presiden empat tahun lalu, Lugo berikrar untuk menjadi wira penduduk miskin Paraguay, membabitkan perebutan tanah dan eksport soya, tetapi agenda pembaharuannya terjejas berikutan cengkaman pembangkang di Kongres. 

Sekutu politik Lugo menjauhinya minggu lalu, ketika pertumpahan darah memuncak di timur laut negara itu, manakala senat mengundi 39-4 untuk menyingkirkannya kelmarin selepas satu usul dibentangkan di Dewan Rakyat. 
Ribuan penyokong Lugo berhimpun di luar bangunan Kongres di Asuncion dan cuba merempuh sekatan polis ketika keputusan diumumkan. – Reuters

No comments:

Post a Comment