Pages

Wednesday, June 13, 2012

PERISTIWA 9/11 DI DALAM AL QURAN






APABILA ulama Mesir, Dr Zaghlul Najjar, tampil menerangkan kejadian runtuhan World Trade Center (WTC), New York pada 11 September 2001 sudah dibayangkan al-Quran, penduduk dunia, termasuk umat Islam sendiri berasa takjub.


Ini kerana tiada siapa pun termasuk perisik Amerika Syarikat sendiri gagal menjangka pesawat akan digunakan sebagai 'senjata' bagi meruntuhkan bangunan lambang kemegahan negara berkenaan. Mengikut kajian Dr Zaghlul, runtuhan WTC turut mencatatkan sejarah hitam bagi Amerika seolah-olah digambarkan menerusi ayat ke 110 Surah at-Taubah dalam al-Quran.


Ayat itu bermaksud: “Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu sudah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” ( Surah at-Taubah : ayat 110 )


Kajian mendapati beberapa fakta mengenai kejadian runtuhan WTC mempunyai kaitan dengan ayat berkenaan antaranya bangunan WTC setinggi 110 tingkat dan peristiwa itu berlaku pada bulan kesembilan Masihi (September) manakala ayat al-Quran berkenaan adalah ayat ke- 110 dari surah kesembilan (at-Taubah).


Ayat yang ke : 110 (Bangunan WTC 110 tingkat)
Juzuk ke : 11 (Tarikh kejadian 11 haribulan)
Surah ke : 9 (kejadian berlaku dalam bulan 9)
Huruf terakhir adalah huruf yang ke : 2001
(kejadian berlaku dalam tahun 2001)


Persamaan lain, ia berlaku pada 11 haribulan manakala ayat berkenaan berada dalam juzuk ke-11 dan peristiwa berlaku pada 2001 manakala huruf terakhir ayat adalah huruf ke- 2001.

Penjelasan Dr Zaghlul itu meyakinkan umat Islam bahawa isi kandungan al-Quran benar-benar memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam.


Hal itu diakui Allah menerusi firman-Nya: “Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah.” (Surah Yunus, ayat pertama).


Ayat lain daripada surah al-Hijr, juga ayat pertama bermaksud: “(Surah) ini adalah (sebahagian daripada) ayat-ayat al-Kitab (yang sempurna) iaitu (ayat-ayat) al-Quran yang memberi penjelasan.” Malah, misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran membuktikan kitab suci dan mukjizat terbesar dikurniakan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w itu bukanlah rekaan manusia.


Sebaliknya, penemuan itu seharusnya menambahkan keimanan umat Islam bahawa ayat al-Quran datang daripada Allah s.w.t sepertimana firmannya dalam surah as-Syu'araa', ayat ke-192: “Dan sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam.”


Ayat lain menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan Allah menerusi ayat pertama dari surah al-Qadr iaitu: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar.”


Peristiwa runtuhan bangunan WTC tiga tahun lalu bukanlah gambaran pertama al-Quran mengenai sesuatu peristiwa yang bakal terjadi pada masa akan datang.


Sebaliknya, kitab suci itu dikatakan sudah menggambarkan mengenai kebangkitan kembali bangsa Rumawi selepas dikalahkan bangsa Persia dalam peperangan pada tahun 614. Selepas berakhirnya peperangan berkenaan, turunlah ayat pertama hingga keempat dari surah ar-Rum menyatakan bangsa Rumawi akan kembali menang dalam tempoh beberapa tahun. Kemenangan bangsa Rumawi terhadap bangsa Persia itu kemudiannya benar-benar terjadi kira-kiralapan tahun kemudian seperti yang diramalkan al-Quran.


Disalin dengan sedikit ubahsuai dari :
http://malaysia-post.blogspot.com/2010/11/911-di-dalam-al-quran.html

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam
 

No comments:

Post a Comment