Pages

Monday, June 18, 2012

Pegawai Zionis tuduh Ikhwanul Muslimin arah lancar roket

BAITULMAQDIS: Dua roket dipercayai dilancarkan dari Sinai meletup berhampiran dua bandar jauh di selatan Israel, semalam.
Menurut seorang pegawai keselamatan rejim Zionis itu, serangan berkenaan ada kaitan dengan pilihan raya presiden di Mesir yang berlangsung selama dua hari mulai kelmarin.

“Roket itu dilancar pihak yang mahu mempengaruhi pilihan raya presiden Mesir,” katanya.
Kenyataan sumber tentera Israel itu dibuat dengan merujuk kumpulan pejuang Palestin di Sinai.

Polis Israel pula berkata, dua roket Grad ditembak dari Sinai dan mendarat berhampiran bandar dan perkampungan pada pagi kelmarin. Sumber keselamatan Israel berkata, satu daripada roket itu mendarat berhampiran Mitzpe Ramon di padang pasir Negev.

“Roket kedua mendarat berhampiran Ovda di padang pasir Arava,” katanya.
Akhbar Haaretz pula - memetik sumber pertahanan - mendakwa militan Badwi mendalangi serangan itu yang dibuat atas arahan Hamas.

“Hamas memberi arahan selepas mendapat permintaan daripada kumpulan Ikhwanul Muslimin di Mesir,” katanya.
Namun, seorang pegawai kanan Israel menolak kemungkinan pembabitan Ikhwanul Muslimin yang kini cuba memenangi kerusi presiden di Mesir melalui calonnya, Mohammed Mursi.

“Ikhwanul Muslimin mahu mengubah wajah Timur Tengah dan tidak terbabit dalam serangan itu,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment