Pages

Thursday, June 28, 2012

Pastor Singapura didakwa seleweng duit gereja


Pengasas Gereja City Hervest, Kong Hee (dua dari kanan) dan isterinya, Ho Yeow Sun (tiga dari kanan) semasa beredar dari Mahkamah Rendah Singapura, semalam. - REUTERS
SINGAPURA 27 Jun - Pengasas sebuah gereja paling kaya di Singapura hari ini didakwa di Mahkamah Rendah atas dakwaan menyeleweng wang derma hampir S$23 juta (RM57.45 juta) untuk menyara kerjaya nyanyian isterinya.
Pastor Kong Hee, 47, berdepan tiga dakwaan pecah amanah berhubung penyalahgunaan dana Gereja City Hervest, gereja terbesar di Singapura dengan keanggotaan lebih 30,000 orang.
Hee dituduh menyeleweng dana pembinaan gereja itu dalam tempoh beberapa tahun bagi menyara kerjaya isterinya, Ho Yeow Sun yang cuba menjadi penyanyi di Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan media Singapura sebelum ini, Yeow Sun yang kini berumur 40-an berharap popularitinya di peringkat antarabangsa akan membantu menyebarkan mesej bagi pihak gereja itu.
Empat eksekutif gereja itu turut didakwa di sebuah mahkamah kerana bersubahat dengan Hee dan cuba menyeleweng dana gereja melibatkan berjuta-juta dolar.
Hee dan empat tertuduh lain ditangkap semalam oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial, unit polis yang ditubuhkan bagi membendung jenayah kewangan.
Mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika disabit kesalahan.
Kelima-lima tertuduh itu digantung tugas dan dibenarkan ikat jamin S$500,000 (RM1.248 juta) setiap seorang serta pasport mereka dirampas.
Pegawai yang memantau kebajikan menyatakan, Hee menyeleweng sebanyak S$23 juta (RM57.45 juta), namun dalam kertas pertuduhan yang difailkan hari ini, jumlah itu dinaikkan kepada S$24 juta (RM59.94 juta).
Menurut dokumen mahkamah, dana gereja itu disalurkan melalui bon pelaburan di dua syarikat, namun ia merupakan satu transaksi palsu.
"Ia direka oleh tertuduh bagi menyembunyikan peralihan Dana Pembangunan Gereja kepada dana kerjaya muzik Yeow Sun selain beberapa tujuan yang tidak dibenarkan,'' kata dokumen itu. - AFP

No comments:

Post a Comment