Pages

Wednesday, June 6, 2012

Nazam Aqidatul Awwam (WAJIB BACA)

Nazam Aqidatul Awwam (WAJIB BACA) :-

Aku mulakan dengan menyebut nama Allah dan nama Yang Maha Pengasih

Dan dengan nama Yang Maha Penyayang dan nama Yang berkekalan kebaikanNya

Segala puji bagi Allah yang bersifat Qadim (tiada permulaan) lagi Awwal

Yang Maha Akhir lagi Maha Kekal dengan tiada berubah

Kemudian selawat dan salam untuk selama-lamanya

Semoga dilimpahkan kepada nabi sebaik-baik insan yang mentauhidkan Allah

Dan ke atas keluarganya, para sahabatnya dan orang yang mengikut

Jalan agama yang benar dan tidak membuat bid'ah

Dan selepas itu, ketahuilah kewajipan bermakrifah (mengenal Allah)

Dari sifat dua puluh yang wajib bagi Allah Ta'ala

Maka Allah itu bersifat Ada, Sedia (Tiada permulaan), Kekal (Tidak berakhir)

Sifat-sifatNya sama sekali berbeza dengan sifat-sifat makhluk

Berdiri sendiri tidak berhajat pada yang lain, Maha Esa, Yang Menghidupkan

Yang Maha Kuasa, Yang Berkehendak, Yang Maha Mengetahui segala sesuatu

Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat, Yang Berkata-kata

BagiNya sifat-sifat yang tujuh yang terangkap (dalam syair)

Sifat Kuasa, Sifat Berkehendak, Sifat Mendengar, Sifat Melihat

Sifat Hidup, Sifat Mengetahui, Sifat Berkata-kata

Dan yang harus itu dengan kelimpahan dan keadilannya

Meninggalkan tiap-tiap yang boleh seperti membuatnya

Allah telah mengutus para Nabi yang mempunyai sifat cerdik

Serta benar kata-kata, menyampaikan wahyu dan dapat dipercaya

Dan haruslah pada peribadi mereka (Nabi-nabi dan Rasul-rasul) mempunyai sifat-sifat kemanusiaan

Dengan tidak mengurangkan darjat kemuliaan mereka, seperti sakit-sakit ringan

Terpeliharanya para Nabi dan Rasul (dari dosa) seperti halnya semua malaikat

Adalah pasti dan mereka lebih mulia dari malaikat

Dan yang mustahil itu adalah lawan semua sifat wajib

Maka ingatlah aqidah yang lima puluh itu kerana hukumya wajib

Huraian satu persatu nama dua puluh lima Rasul itu, wajiblah diketahui

Setiap mukallaf ketahuilah hal itu dengan nyata, dan ambillah keuntungan pahalanya

Mereka itu: Nabi Adam, Nabi Idris, Nabi Nuh, Nabi Hud

Nabi Salleh, serta Nabi Ibrahim tiap-tiap Nabi itu diikuti

Nabi Lut, Nabi Ismail, Nabi Ishak

Nabi Ya'kub, Nabi Yusuf, Nabi Ayyub yang telah menurut

Nabi Syu'aib, Nabi Harun, Nabi Musa dan Nabi Ilyasa'

Nabi Zulkifli, Nabi Daud, Nabi Sulaiman yang mengikuti

Nabi Ilyas, Nabi Yunus, Nabi Zakaria, Nabi Yahya

Nabi Isa, Taha (Nabi Muhammad) nabi penghabisan, tinggalkan kesesatan

Semoga tetap atas mereka (para Rasul) rahmat dan salam

Dan atas keluarga mereka, selama dunia masih ada

Malaikat itu makhluk yang tidak berbapa dan beribu

Tidak makan, tidak minum dan tidak tidur bagi mereka

Huraian satu persatu iaitu sepuluh daripada mereka iaitu Jibril

Mikail, Israfil, Izrail

Mungkar Nakir dan Raqib dan demikian pula

'Atid, Malik dan Ridwan yang mengikut

Empat buah dari kitab suci Allah itu, satu persatunya ialah

Taurat bagi Nabi Musa diturunkannya dengan membawa petunjuk

Zabur bagi Nabi Daud dan Injil yang diturunkan kepada

Nabi Isa dan Al-Quran yang diturunkan kepada pada sebaik-baik kaum (Nabi Muhammad saw)

Dan lembaran-lembaran suci yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa itu

Mengandungi firman Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui

Dan segala keterangan yang dibawa oleh Rasulullah

Maka terhadapnya kita wajib tunduk dan terima

Iman kita pada hari akhir (qiamat) adalah wajib

Dan kepada segala yang ada pada hari akhir itu, yang menghairankan

Sebagai penutup untuk menerangkan baki yang wajib diimankan

Dari hal yang menjadi kewajipan bagi orang mukallaf

Nabi kita Muhammad saw telah diutus

Untuk seluruh alam sebagai rahmat dan beliau diutamakan melebihi semua Nabi dan Rasul

Bapa Nabi adalah Abdullah, putera Abdul Mutallib

Putera Hasyim, putera Abdul Manaf yang menjadi keturunannya

Ibunya ialah Aminah Az-Zuhriyyah

Beliau disusukan oleh Halimah As- Sa'diyyah

Negeri kelahiran Nabi adalah Makkah yang aman

Sedang wafat beliau di negeri Taibah iaitu Madinah

Telah sempurna sebelum turun wahyu umur Nabi empat puluh tahun

Sedang usia beliau lebih enam puluh tahun

Ada tujuh orang putera Nabi, di antara mereka

Tiga orang lelaki, semoga difahami tiga orang itu

Qasim dan Abdullah iaitu digelar At-Tayyib

Dan Tahir, dengan kedua sebutan inilah Abdullah itu digelari (At-Tayyib & At-Tahir)

Ibrahim itu lahir untuk Nabi dari isteri amah (hamba)

Ibu Ibrahim bernama Siti Maariyah Al-Qibtiyyah (berbangsa Mesir)

Selain Ibrahim, putera-putera Nabi dari Siti Khadijah

Mereka itu enam orang, maka kenalilah mereka itu dengan penuh cinta

Dan empat orang anak Nabi terdiri dari wanita, empat orang ini akan disebutkan

Semoga redha Allah tetap dilimpahkan pada kesemuanya, (demikian doa) diucapkan

Fatimah Az-Zahrah yang bersuamikan Sayyidina Ali Bin Abi Thalib

Dan kedua putera mereka adalah cucu-cucu Nabi (Hassan dan Hussin), yang kemuliaan mereka sudah jelas

Zainab dan sesudah itu Ruqaiyyah

Dan Ummu Kulthum yang suci lagi diredhai

Sembilan orang isteri ditinggalkan oleh Nabi setelah wafatnya

Mereka semua telah diminta, memilih syurga atau dunia, maka mereka memilih Nabi yang jadi ikutan

Aisyah dan Hafsah dan Saudah

Shafiyyah, Maimunah dan Ramlah

Hindun dan Zainab dan demikian juga Juwairiyah

Bagi kaum mukminin, mereka itu menjadi ibu-ibu yang diredhai

Hamzah ialah pakcik Nabi dan Abbas pun demikian juga

Makcik Nabi ialah Shafiyyah yang bersifat ikut akan Nabi

Sebelum hijrah Nabi (ke Madinah) terjadi peristiwa Isra'

Dari Makkah malam hari be Baitul Maqdis yang dapat dilihat

Sesudah Isra' terus Mi'raj (naik) ke langit

Sehingga Nabi melihat Tuhan yang berkata-kata

Kata-kata tanpa bentuk dan ruang – di sini diwajibkan Allah

Kepadanya lima waktu yang sebelumnya lima puluh

Dan Nabi telah menyampaikan kepada umat peristiwa Isra' tersebut

Serta menyampaikan kewajipan solat lima waktu tanpa syak

Sungguh beruntung sahabat Abu Bakar Siddiq kerana membenarkan Nabi

Begitu juga Mikraj pun ia membenarkannya.

Kebenarannya itu pula benar pada tempatnya.

Dan inilah keterangan Aqidah yang ringkas

Dan untuk orang awam adalah mudah dan ringan

Penyusun nazam Aqidah ini ialah As-Syeikh As-Sayyid Ahmad Al-Marzuki

Yang berketurunan dari Rasulullah (As-Sadiqul Masduq)

Segala puji bagi Allah semoga diberikan rahmat dan keselamatan

Atas Nabi sebaik-baik orang yang telah mengajar

Dan keluarganya dan para sahabatnya serta yang memberi petunjuk

Dan setiap orang yang mengikut sebaik-baik jalan

Aku memohon pada Allah yang bersifat Maha Pemurah keikhlasan beramal

Dan manfaat bagi setiap orang yang berpegang teguh pada aqidah ini.

Nazam Aqidah ini ada lima puluh tujuh baris dengan hitungan Abjad

Masa khatamnya ialah pada tahun 1258 Hijrah

Aku namakan Aqidah ini Aqidatul Awaam

Keterangan yang wajib diketahui dalam agama dengan sempurna

No comments:

Post a Comment