Pages

Friday, June 1, 2012

Nasib Mubarak diketahui esok

KAHERAH: Presiden Mesir yang disingkir, anak lelakinya dan beberapa pegawai kanan keselamatan akan menerima keputusan esok, sama ada mereka didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan rasuah. 

Hosni Mubarak mula dibicarakan Ogos tahun lalu, enam bulan selepas disingkirkan oleh protes rakyat di seluruh negara.
Pengkritik pula bimbang bahawa keadilan mungkin sekali lagi tidak dicapai kerana kekurangan bukti kukuh terhadap bekas diktator itu.
Keputusan itu bakal dibuat ketika penduduk Mesir masih berbelah-bagi mengenai era pentadbiran sementara tentera. 

Sejak Mubarak dipenjarakan pada April 2011, negara itu melalui banyak perubahan termasuk pilihan raya pusingan pertama untuk memilih presiden baru minggu lalu yang menyaksikan pertandingan akhir antara calon Ikhwanul Muslimin dan perdana menteri terakhir era Mubarak. 

Pemimpin Ikhwanul Muslimin yang sebelum ini dilarang berpolitik atau dipenjarakan kini berada di barisan hadapan selepas menang besar dalam pilihan raya parlimen tetapi menyaksikan perpecahan akibat protes hingga membawa pertumpahan darah. 

Mubarak didakwa atas tuduhan rasuah dan membunuh penunjuk perasaan yang membawa kepada penggulingannya pada Februari 2011. 
Tuduhan membunuh turut dikenakan ke atas tujuh ketua keselamatan manakala dua anak lelakinya, Alaa dan Gamal menghadapi dakwaan rasuah. 

Kira-kira 850 penunjuk perasaan terkorban ketika pemberontakan 18 hari yang memaksa Mubarak meletak jawatan. 

Pada masa sama, Mubarak tidak mustahil dibebaskan atau dibenarkan merayu jika didapati bersalah selepas hak asasi manusia dicabuli, ahli politik ditahan dan dasar penderaan ketika pemerintahannya berlaku selama beberapa dekad. 

Sepanjang 36 kali perbicaraan, ada saksi pendakwaan memberi keterangan bercanggah seolah-olah mahu melepaskan Mubarak dan ketua keselamatannya daripada tuduhan membunuh. 

Pendakwa raya mencadangkan hukuman mati ke atas Mubarak dan berhujah dalam rumusannya bahawa mereka ada cukup bukti untuk satu sabitan. Namun, saksi memberi keterangan berbeza. 

Seorang pegawai polis berkata, dia diarah melayan penunjuk perasaan sebagai saudara manakala yang lain mengatakan mereka diarah tidak membawa senjata ketika bantahan. 

Namun, seorang lagi saksi yang juga timbalan kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly, defendan bersama Mubarak, berkata Adly mengeluarkan arahan hanya menggunakan gas pemedih mata dan meriam air pada 28 Januari 2011, kemuncak bantahan. 

“Saksi pendakwa seperti saksi pembela,” kata seorang peguam yang mewakili keluarga mangsa. 

Beberapa individu ternama seperti pemerintah tentera negara itu, Marsyal Lapangan Hussein Tantawi, memberi keterangan tertutup namun, peguam mangsa memberi keterangan tidak menunjukkan Mubarak bersalah. – AFP 

No comments:

Post a Comment