Pages

Thursday, June 28, 2012

Naglaa lebih selesa jadi ibu

KAHERAH: Isteri presiden baru Mesir, Mohammed Morsi, Naglaa Mahmoud, 50, berkata, beliau lebih selesa menjadi ibu, suri rumah dan mengurus keluarga berbanding melaksanakan tugas sebagai isteri presiden. 

“Panggil saja saya Umm Ahmed (bermaksud ibu Ahmed merujuk kepada nama anak sulungnya) atau Ukhti (kakak) atau Hajah. Islam tidak membezakan seorang wanita dengan wanita yang lain. Kita semua adalah rakyat Mesir dan perlu bersatu demi negara,” katanya dalam satu temuramah yang dipetik media Mesir.
Naglaa berkata walaupun lebih gemar berada di rumah, beliau tidak ketinggalan mengikut suaminya berkempen menjelang pilihan raya presiden baru-baru ini.
Naglaa berkahwin dengan Morsi yang juga sepupunya pada 1979 ketika berusia 17 tahun. Beliau bekerja dengan Ikhwanul Muslimin sebelum mengikut Morsi menyambung pelajaran di Amerika Syarikat dan mengikuti kursus menterjemah. 

Kedudukan sebagai isteri presiden, menjadikan Naglaa bahan perbincangan dikalangan media dan laman web online, berikutan imej bertudung yang ditampilkannya dianggap kurang sesuai. 

Namun Naglaa ternyata selesa dengan apa yang digayakannya selain kehidupan sederhana bersama suami dan anaknya. 

Beberapa laman web turut membandingkan beliau dengan isteri bekas presiden Hosni Mubarak, Suzzane, yang sentiasa tampil dengan sut dan pakaian ala Barat. 
“Adakah anda cuba menggoda saya Puan Morsi?” tulis sebuah laman web hiburan di Kaherah yang turut menyiarkan gambar Naglaa yang bertudung. 

Bagaimanapun, beberapa penganalisis berkata, pakaian yang dipakai Naglaa adalah pakaian biasa kebanyakan wanita Mesir. 

“Jika ada ke Zamalek dan Heliopolis di Kaherah, ramai wanita Mesir memakai pakaian yang sama seperti Naglaa. Malah, saya yakin lebih ramai wanita berpakaian seperti beliau berbanding fesyen yang digayakan Suzanne,” kata seorang penulis blog. 

Berikutan kemenangan suaminya, Naglaa dan keluarganya kini berpindah ke istana presiden. Naglaa sebelum ini memberitahu akhbar harian Egypt Today bahawa beliau tidak mahu tinggal di rumah yang pernah didiami Mubarak. 

“Saya sedang berusaha mencari rumah lain di di pinggir Kaherah untuk memudahkan saya mengundang dan melayan tetamu dengan lebih baik,” katanya. – Agensi

No comments:

Post a Comment