Pages

Monday, June 18, 2012

Myanmar buru mereka yang bertanggungjawab

SITTWE, Myanmar 17 Jun - Kerajaan Myanmar, hari ini berikrar akan memburu mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian kira-kira 50 orang dalam keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine, ketika bantuan kemanusiaan dipertingkatkan kepada beribu-ribu penduduk Rakhine yang hilang tempat tinggal.
Media rasmi melaporkan lebih 30,000 penduduk termasuk etnik Rakhine beragama Buddha dan kaum Rohingya yang beragama Islam hilang tempat tinggal selepas rumah kediaman mereka dibakar dalam rusuhan dan serangan di Rakhine pada awal bulan ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan ‘sangat sukar’ bakal dihadapi oleh beribu-ribu keluarga menjelang kedatangan musim hujan nanti.
Makananan termasuk beras, air dan tempat perlindungan dibawa ke Sittwe, ibu negeri Rhakine, namun bekalan berkenaan dibimbangi tidak mencukupi untuk kawasan terpencil itu.
Kedua-dua pihak terbabit menuduh antara satu sama lain bertanggungjawab atas keganasan tersebut yang memecahbelahkan komuniti yang tinggal bersama sejak beberapa dekad lalu dan dibayangi perubahan kerajaan awam Myanmar.
Selepas melawat kawasan tersebut, Menteri Perpaduan Hal Ehwal Sempadan dan Pembangunan Industri Myanmar, Leftenan Jeneral Thein Htay berikrar akan membawa keadilan dan mendakwa pesalah tanpa berat sebelah, lapor akhbar New Light of Myanmar.
‘‘Keadaan huru-hara ini tidak boleh diterima. Kerajaan akan membawa pesalah ke muka pengadilan dan mengembalikan kestabilan secepat mungkin,’’ katanya yang dipetik akhbar tersebut.
Pergolakan di Rakhine menyebabkan Presiden, Thein Sein memberi amaran kejadian itu akan mengganggu proses peralihan Myanmar daripada pemerintahan tentera sejak beberapa dekad lalu kepada kerajaan awam.
Ketika ini kebimbangan ditumpukan kepada kira-kira 10,000 orang yang sangat memerlukan tempat tinggal sementara dan makanan ekoran keganasan yang berlaku. - AFPs'

No comments:

Post a Comment