Pages

Sunday, June 3, 2012

Mubarak dipenjara seumur hidup

Foto
GAMBAR diambil dari TV Mesir menunjukkan pergaduhan antara
penyokong dan penentang Mubarak di dalam mahkamah.
Berita Harian Online | Mubarak dipenjara seumur hidup:
Foto
SEBAHAGIAN penduduk Mesir bersorak selepas mahkamah
menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Mubarak.
Dua anak bekas Presiden Mesir dibebas daripada tuduhan rasuah 

KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, 84, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam, selepas didapati bersalah terhadap kematian 900 penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat Februari lalu.
Selain itu, beliau juga didapati bersalah kerana menjual gas asli kepada Israel pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Mereka (rakyat Mesir) menuntut demokrasi secara aman daripada pemerintah yang bersikap kuku besi dan enggan menyerahkan kuasa. - Hakim Ahmed Refaat
Bekas Menteri Dalam Negeri Habib el-Adly, 74, juga dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas turut didapati bersalah atas kematian penunjuk perasaan, manakala enam pegawai keselamatan lain dibebaskan.

Dua anak lelaki Mubarak, Gamal, 49, dan Alaa, 50, dibebaskan daripada dakwaan rasuah tetapi masih berdepan perbicaraan berasingan dengan tuduhan menjalankan perniagaan secara tidak sah.

Mubarak yang dibawa dengan helikopter tiba memakai kaca mata hitam dan baju trek coklat muda, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika Hakim Ahmed Refaat (gambar kanan), membacakan keputusan selepas mengeluarkan beberapa kenyataan keras terhadapnya.

Refaat dalam penghakimannya, menyifatkan tempoh pemerintahan Mubarak sebagai 30 tahun dalam kegelapan dan sebuah mimpi ngeri yang hanya berakhir dengan kebangkitan rakyat Mesir menuntut perubahan. 
“Mereka (rakyat Mesir) menuntut demokrasi secara aman daripada pemerintah yang bersikap kuku besi dan enggan menyerahkan kuasa,” katanya.

Refaat yang akan bersara selepas perbicaraan Mubarak dan kedua-dua anaknya selesai, berkata el-Adly turut bertanggungjawab kerana tidak mengambil tindakan menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan yang tidak bersenjata oleh pasukan keselamatan.

Lebih 900 penunjuk perasaan terkorban, kebanyakannya ditembak di Kaherah dan bandar lain di Mesir sepanjang tempoh kebangkitan rakyat selama 18 hari itu.

Hukuman ke atas Mubarak yang mentadbir Mesir seperti harta peribadi selama tiga dekad, dilihat bertujuan meredakan ketegangan menjelang pusingan kedua pilihan raya presiden yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara bekas perdana menteri Ahmed Shafiq, dengan calon Ikhwanul Muslimin Mohamed Mursi.

Mubarak, pemimpin Arab pertama yang dibicarakan di negaranya sendiri, hanya mendiamkan diri di kamar mahkamah manakala kedua-dua anak lelakinya jelas gementar. Anak sulung beliau dilihat membaca ayat suci al-Quran dengan perlahan.

Sementara itu, pergaduhan tercetus antara penyokong dan penentang Mubarak di dalam dan di luar kamar mahkamah sejurus keputusan dibacakan, memberi isyarat keadaan tegang berterusan sejak Mubarak digulingkan.

Sebilangan mereka mengibarkan bendera Mesir sambil melaungkan kata-kata mendesak hukuman segera dilaksanakan, manakala yang lain mengoyak gambar Mubarak.

Beribu-ribu anggota polis mengawal kawasan sekitar bangunan akademi, bagi menghalang penunjuk perasaan dan sanak-saudara mereka yang terbunuh ketika kebangkitan daripada menghampirinya.

Mubarak ditempatkan di hospital di bandar peranginan Sharm el-Sheikh sejak penahanannya tahun lalu, selepas tentera tunduk kepada desakan penunjuk perasaan supaya beliau dibicarakan.

Tentera, bagaimanapun, bertegas bahawa siasatan dan tuduhan yang difailkan pendakwa ke atas Mubarak dilakukan secara bebas dan mereka tidak terbabit dalam perkara itu. – AP/AFP
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment