Pages

Sunday, June 17, 2012

Kisah Tauladan tentang seorang AYAH yang sangat Mulia


Sempena Hari Bapa pada hari ini,saya ingin berkongsi Kisah Tauladan tentang seorang AYAH yang sangat Mulia iaitu Rasulullah saw dengan anak perempuan kesayangannya iaitu Fatimah Az-Zahra`.Semoga kisah ini akan memberikan pengajaran kita tentang kasih sayang seorang ayah...InsyaAllah ^_^


Pada suatu hari, masuklah Rasulullah s.a.w menemui puterinya Fatimah Az-Zahra. Didapati puterinya sedang menggiling syair (sejenis padi-padian) dengan menggunakan sebuah penggiling tangan dari batu sambil menangis. Rasulullah saw bertanya padanya, “Apa yang menyebabkan engkau menangis, wahai Fatimah? Semoga Allah swt tidak menyebabkan matamu menangis.” Fatimah berkata, “Ayahanda, menggiling dan urusan-urusan rumahtanggalah yang menyebabkan anakanda menangis.” Lalu, duduklah Rasulullah saw disisi puterinya.

Fatimah melanjutkan perkataannya, “Ayahanda, sudikah kiranya ayahanda meminta Ali (suaminya) mencarikan anakanda seorang jariah (pembantu) untuk menolong menggiling gandum dan mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di rumah.” Mendengar perkataan puterinya ini, maka Rasulullah saw mendekati penggiling itu. Beliau mengambil syair dengan tangannya yang diberkati lagi mulia dan diletakkannya di dalam penggiling itu seraya diucapkannya “Bismillahirrahmanirrahim.” Penggiling tersebut berputar dengan sendirinya dengan izin Allah swt. Rasulullah saw meletakkan syair kedalam penggiling itu dengan tangannya, sedangkan penggiling itu berputar dengan sendirinya seraya bertasbih kepada Allah swt dalam berbagai bahasa sehingga habislah butir-butir syair itu digiling.

Rasulullah saw berkata kepada penggiling tersebut, “Berhentilah berputar dengan izin Allah swt.” Maka penggiling itupun berhenti berputar lalu penggiling itu berkata-kata dengan izin Allah swt yang berkuasa menjadikan segala sesuatu dapat bertutur kata. Katanya dalam bahasa arab yang fasih, “Ya Rasulullah saw, demi Allah tuhan yang telah menjadikan Baginda dengan kebenaran sebagai Nabi dan Rasul-Nya, kalaulah Baginda menyuruh hamba menggiling syair dari Masyriq dan Maghrib pun niscaya hamba gilingkan semuanya. Sesungguhnya hamba telah mendengar dalam kitab Allah swt suatu ayat yang berbunyi (“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu penjaganya para malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang dititahkan-Nya kepada mereka dan mereka mengerjakan apa yang dititahkan.”) Maka hamba takut Ya Rasulullah, kelak hamba menjadi batu yang masuk kedalam neraka.”

Rasulullah saw kemudian bersabda kepada batu penggiling itu, “Bergembiralah kerana engkau adalah satu dari batu mahligai Fatimah Az-Zahra di dalam syurga.” Maka gembiralah penggiling itu mendengar berita itu kemudian diamlah ia.

Rasulullah saw bersabda kepada puterinya, “ Jika Allah swt menghendaki wahai Fatimah, nescaya penggiling itu berputar dengan sendirinya untukmu. Akan tetapi Allah swt menghendaki dituliskan-Nya untukmu beberapa kebaikan dan dihapuskan oleh-Nya beberapa kesalahanmu dan diangkat-Nya untukmu beberapa darjat. Ya Fatimah, perempuan mana yang menggiling tepung untuk suami dan anak-anaknya, maka Allah swt menuliskan untuknya dari setiap biji gandum yang digilingnya suatu kebaikan dan mengangkatnya satu darjat.

“Ya Fatimah, perempuan mana yang berkeringat ketika ia menggiling gandum untuk suaminya maka Allah swt menjadikan antara dirinya dan neraka tujuh buah parit. “Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyaki rambut anak-anaknya dan menyisir rambut mereka, mencuci pakaian mereka, maka Allah swt akan mencatatkan baginya ganjaran pahala orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang telanjang.
Ya Fatimah, perempuan mana yang menghalangi hajat tetangganya maka Allah swt akan menghalanginya dari meminum air telaga kautsar pada hari kiamat. Ya Fatimah, yang lebih utama dari semua itu adalah keredhaan suami terhadap isterinya. Jikalau suamimu tidak redha denganmu tidaklah aku doakan kamu. Tidakkah engkau ketahui wahai Fatimah bahawa redha suami itu daripada Allah swt dan kemarahannya itu dari kemarahan Allah swt?.

“Ya Fatimah, apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya maka beristighfarlah para malaikat untuknya dan Allah swt akan mencatatkan baginya tiap-tiap hari seribu kebaikan dan menghapuskan darinya seribu kejahatan. Apabila ia mulai sakit hendak melahirkan anak, maka Allah swt akan mencatatkan untuknya pahala orang-orang yang berperang sabil. Apabila ia melahirkan anak maka keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti keadaannya pada hari ia dilahirkan dan apabila ia meninggal dunia tiadalah ia meninggalkan dunia ini dalam keadaan berdosa sedikitpun, dan dia akan dapati kuburnya menjadi sebuah taman syurga dan Allah swt akan mengurniakannya pahala seribu haji dan seribu umrah serta istighfarlah seribu malikat untuknya sehinggalah hari kiamat.

“Perempuan mana yang melayani suaminya dalam sehari dengan baik hati dan ikhlas serta niat yang benar maka Allah swt akan mengampuni dosa-dosanya semua dan Allah swt akan memakaikannya sepersalinan pakaian hijau dan dicatatkan untuknya dari setiap helai bulu dan rambut yang ada pada tubuhnya seribu kebaikan dan dikurniakan Allah swt untuknya seribu pahala haji dan umrah. Ya Fatimah, perempuan mana yang tersenyum dihadapan suaminya maka Allah swt akan memandangnya dengan padangan rahmat. Ya fatimah, perempuan mana yang menghamparkan hamparan atau tempat untuk berbaring atau mengemas rumah untuk suaminya dengan baik hati, maka berserulah penyeru dari langit (malaikat) “teruskanlah amalmu maka Allah swt telah mengampunimu akan sesuatu yang telah lalu dari dosamu dan sesuatu yang akan datang.” Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyakkan rambut, janggut, memotong kumisnya serta memotong kukunya maka Allah swt akan memberinya minum dari sungai-sungai syurga dan Allah swt akan meringankan sakaratul mautnya dan dia akan dapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta Allah swt akan menyelamatkannya dari api neraka dan selamatlah ia melintasi diatas titian sirat.”

Perhatian : Maaf sekiranya bahasa yang saya gunakan dalam kisah ini kurang
menarik.Walau bagaimanapun,saya harapkan semoga ianya akan
menjadi info yang berguna untuk semua dalam kita menghargai
ayah kita...InsyaAllah ^_^


Sedikit Perkongsian Dari : Ustaz Muhammad Taufik Bin Haji Khalil.
 

No comments:

Post a Comment