Pages

Sunday, June 3, 2012

Hadiah istimewa

myMetroHadiah istimewa:

RINDU... Voon (tengah) mendakap ibunya, Siti Abdullah sambil diperhatikan abangnya, Mohd Salleh Mohammad.
RINDU... Voon (tengah) mendakap ibunya, Siti Abdullah sambil diperhatikan abangnya, Mohd Salleh Mohammad.
KUCHING: “Inilah hadiah paling bermakna dalam hidup saya. Saya bersyukur dapat menatap wajah dan mencium pipi anak saya walaupun terpaksa menunggu 60 tahun selepas kami berpisah,” kata Siti Abdullah sebaik dipertemukan dengan anak lelakinya, Voon Kow Mung, 60, di Kampung Rampangi, semalam.
Pertemuan penuh linangan air mata itu berlangsung sebaik Voon berjaya mengesan adik beradiknya di Kuching selepas dia dibawa ke China oleh keluarga angkatnya.

“Banyak usaha dan ikhtiar dilakukan bagi membolehkan anak saya dipertemukan, tapi gagal. Kehidupan kami ketika itu sukar, malah tiada wang untuk mencarinya di China.
“Kami hanya mengetahui Voon berada di China tapi lokasi tidak diketahui. Namun, kami terus berusaha dan berkat kesabaran, akhirnya bertemu dan disatukan dalam majlis penuh kesyukuran.

“Saya terpaksa menyerahkan Voon kepada keluarga angkat ketika menetap di Miri. Ketika itu, dia baru berusia dua bulan dan diserang demam berpanjangan, tetapi apabila berada dengan pasangan suami isteri berketurunan Cina itu, kesihatannya kembali baik.

“Oleh itu, keluarga kami membuat keputusan menyerahkan anak saya untuk dijaga keluarga Cina berkenaan, tetapi tidak lama kemudian keluarga angkatnya membawa anak saya pulang ke negara asal dan sejak itu hubungan kami terputus,” katanya.
Menurutnya, sejak berpisah dengan Voon, dia sering menangis pada waktu malam kerana mengenangkan anak keempat daripada 11 beradik itu.

“Setiap malam apabila menatap gambarnya, saya menangis kerana memikirkan adakah saya akan berjumpa dengannya satu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Voon berkata, sebaik dimaklumkan ibunya masih hidup, dia terus membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke kampung di Kuching.

“Dalam fikiran, saya menyangka emak sudah uzur tapi sebaliknya dia kelihatan masih sihat dan mampu berjalan walaupun sudah berusia.

“Saya pernah berusaha menjejak emak dengan bantuan media di China tapi usaha itu tidak berhasil hinggalah saya menemui seorang rakyat Malaysia berasal dari Sarawak ketika berada di Australia sebelum dia memberitahu mengenali ayah menerusi gambar ditunjukkan kepadanya.

Voon yang mempunyai anak perempuan tunggal, Bi Ting wen, 31, serta dua cucu masing-masing berusia 11 bulan dan tiga tahun berkata, dia mengetahui ibu kandungnya masih hidup dan berada di Malaysia selepas dimaklumkan oleh kakak angkat.

“Ibu angkat meninggal dunia pada 1976 dan sebelum pemergiannya, dia tidak pernah memberitahu saya ada keluarga kandung di Sarawak hinggalah kakak angkat memberitahu cerita sebenar selepas kematian ibu.

“Dari situ, saya nekad mencari ibu kandung yang terpisah sejak sekian lama,” katanya.

Dia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 9 pagi semalam sambil ditemani Bi Teng, sebelum itu dibawa bertemu semua adik-beradiknya di sebuah rumah di Kampung Kudei, Jalan Nenas Barat.

Sebaik selesai, Voon dibawa ke Kampung Rampangi bertemu ibunya yang menetap bersama kakaknya, dan dari situlah, drama air mata bermula.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment