Pages

Saturday, June 2, 2012

Global: Asap beracun perokok cilik

WALAUPUN sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia sudah berlalu (pada 31 Mei lalu), usaha mengurangkan jumlah perokok tidak berhenti. Di Indonesia contohnya, penyokong antitembakau bercadang memfailkan saman bulan ini dan mengemukakan kes penagih kanak-kanak dengan harapan ia dapat mengetatkan peraturan merokok.
Kadar merokok di Indonesia sangat tinggi iaitu satu dari�pada tiga penduduknya adalah perokok. Ini adalah cubaan yang jarang dilakukan untuk mengekang industri tembakau di negara keempat terpadat di dunia itu. Malah, perkembangan cita rasa penduduk tempatan terhadap rokok menjadikan jualan bahan tidak bermanfaat itu meningkat berkali ganda berbanding negara lain. 
Antara perkara yang dimasukkan dalam saman terhadap syarikat tembakau dan kerajaan Indonesia itu ialah peraturan yang sangat lemah dan menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada risiko merokok.

“Ada kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada kesan (pemasaran) syarikat rokok dan budaya merokok. Mereka kini ketagih merokok. Dalam konteks hak orang ramai, syarikat rokok meletakkan masyarakat dalam keadaan buruk,” kata Ketua Jawatankuasa Perlindungan Kanak-kanak Nasional, Arist Merdeka Sirait.

Sejak dulu lagi Indonesia seolah-olah menjadi syurga kepada perokok dan syarikat rokok; yang mempunyai jumlah perokok kelima teramai di dunia. Tabiat buruk ini diterima baik oleh semua pihak dan boleh dikatakan semua penduduk di negara yang agak miskin ini mampu membeli rokok.

Tabiat merokok di Indonesia menjadi semakin popular dengan perkembangan ekonominya. Pada 1995, satu daripada empat penduduk Indonesia merokok. Lima belas tahun selepas itu, kadarnya meningkat kepada satu daripada tiga.

Senario inilah yang menarik minat syarikat tembakau antarabangsa untuk datang ke Indonesia dan menyertai persaingan dengan jenama tempatan yang mempunyai keuntungan tinggi seperti Gudang Garam, PT Djarum dan Hanjaya Mandala Sampoerna yang kini menjadi sebahagian daripada Philip Morris International.

Malah, kerajaan memberi insentif cukai kepada pengusaha rokok gulung kerana ia menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di timur Jawa di mana tertumpunya syarikat rokok tempatan.

Bagaimanapun, dalam isu saman ini, wakil Sampoerna berkata, mereka hanya melihat laporan cadangan saman dan tidak boleh memberikan sebarang komen. Bahkan pengeluar rokok lain juga enggan membuka mulut.

Jurucakap Kesatuan Pengusaha Rokok Indonesia berkata, dia ada mendengar mengenai saman berkenaan, tetapi dia juga tidak mahu mengulas apa-apa berkaitan perkara itu kerana ia tidak ditujukan kepada kesatuan.

“Jika kanak-kanak merokok, adakah ia masalah iklan atau ibu bapa?” soal jurucakapnya, Hasan Aoni.

Wajah perokok cilik, Ilham Hadi mencuri tumpuan apabila dia menjadi model untuk poster kempen antimerokok.

Menurut ibunya, Nenah, Ilham mula merokok ketika berusia empat tahun apabila dia diberikan duit 3,000 rupiah (0.95 sen) bagi membeli jajan (makan ringan) di sekolah. Malangnya wang berkenaan digunakan untuk membeli rokok.

Tabiat merokok itu membuatkan gigi Ilham menjadi hitam, merosakkan kulitnya dan berdasarkan cerita kawannya, kanak-kanak berumur sembilan tahun yang sebelum ini lincah bertukar kepada pemain bola sepak yang lemah dan kerap semput.

“Kadangkala pada jam 4 pagi dia sudah mengetuk tingkap kedai dengan kuat untuk membeli rokok,” kata Iin Indriyani, yang membuka kedai runcit kecil di depan rumahnya.

Rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari rumah keluarga Ilham.

“Setiap kali dia mahu membeli rokok, dia kelihatan seperti khayal,” kata Indriyani sambil memberitahu, kadangkala perokok kecil itu memukul dia dan anaknya kerana mahukan rokok.

Ilham menghisap dua kotak rokok sehari dan keadaan ini menambahkan tekanan kepada kewangan keluarga�nya apatah lagi pendapatan ayahnya yang bekerja sebagai buruh dan pemandu motor teksi sambilan hanyalah sekitar RM15 hingga RM18 sehari.

“Apabila tiada wang di rumah dan tiada apa yang boleh dijual, dia akan pergi ke kedai runcit dan mendapatkan duit dengan menolong orang meletakkan kenderaan. Dengan duit itulah dia beli rokok, kadang-kadang satu kotak, kadangkala dua dan memilih jenama yang mahal,” rungut ayahnya, Umar.

Tabiatnya yang tidak boleh dibendung itu juga membawa banyak perhatian yang tidak dikehendaki seisi keluarga. Ini kerana ramai wartawan mula mengunjungi rumah mereka yang terletak di lereng bukit bersebelahan sawah padi
di Kampung Kerawang Girang, 25 kilometer di selatan Jakarta.

Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak membayar supaya Ilham diberikan rawatan pada Mac lalu, tetapi malangnya perokok kecil itu menghentikan rawatan dan beberapa minggu lalu, dia melarikan diri dari rumah. Itu bukanlah kali pertama dia lari dari rumah untuk mendapatkan rokok dan sehingga kini, Ilham masih belum ditemui.

Kes Ilham ini mendapat perhatian ramai sehingga mencetuskan perdebatan di kalangan 344 penduduk kampung mengenai merokok dan cubaan ketua kampung untuk menjadikan Kerawang Girang sebagai zon bebas rokok, kata Hussein, pekerja kesihatan di jabatan kerajaan tempatan.

Namun, peluang untuk menjadikan perbincangan mengenai bahaya rokok hingga ke peringkat nasional, agak tipis kerana di Indonesia, merokok dilihat sebagai bergaya dan sofistikated.

Sebahagian besar perokok Indonesia menghisap rokok yang diletakkan cengkih dipanggil kretek, perkataan yang dicipta berdasarkan bunyi rekahan apabila rempah itu terbakar.

Berdasarkan maklumat daripada Biro Statistik, tabiat merokok yang berakar umbi dalam masyarakat Indonesia menjadikan rokok sebagai barang kedua utama dalam setiap rumah selepas beras.

Dalam soal ini, pekerja kesihatan, Husein, menyalahkan iklan yang sangat mempengaruhi pemikiran dan kehidupan rakyat negara itu. Mana tidaknya, papan iklan besar di jalan utama di kampung itu menayangkan iklan rokok, malah acara hiburan tempatan juga kebanyakannya ditaja oleh syarikat tembakau. Keadaan inilah yang boleh dilihat di seluruh kepulauan Indonesia.

Menurut penganalisa ekonomi Institut Demografi Universiti Indonesia, Abdillah Ahsan, kos tahunan bagi penyakit berkaitan rokok dianggarkan berjumlah 11 trilion rupiah (RM315 juta).

Berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, syarikat rokok dianggarkan mengeluarkan 268.4 bilion rokok pada 2012 dan menyumbang RM25.4 juta dalam keun-
tungan cukai.

Jumlah itu cukup besar untuk memberhentikan langkah pihak berkuasa tempatan dan serantau daripada mengetatkan peraturan atau berisiko hilang sumber pendapatan negara.

“Amat sukar untuk membuat peraturan di sini kerana di setiap peringkat ada saja kerenah birokrasi, yang semuanya sudah dibeli oleh industri tembakau,” kata ahli Suruhanjaya Kawalan Tembakau Nasional Indonesia, Tutus Abaci. - Reuters

No comments:

Post a Comment