Pages

Friday, June 15, 2012

Belajar Kasih Ibu Daripada Seekor Lembu

Belajar Kasih Ibu Daripada Seekor Lembu | iluvislam.com + discover the beauty of islam:

Pada satu hari yang damai, hujan sedang turun renyai-renyai, aku keluar daripada rumah untuk menuju ke satu tempat.
Aku tak ingat ke mana aku mahu pergi ketika itu. Sama ada ke pejabat atau ke sebuah surau untuk menyampaikan kuliah maghrib. Tak kisah kemana hala tujuku, yang penting aku yakin saat itu hujan sedang turun membasahi jalan. Semakin lama semakin lebat.
Aku memandu 'jentera' abah ketika itu. Van Ford Econovan. Usianya 15 tahun. Kepulangan ku dari Jordan masih belum genap setahun lagi. Jadi, van inilah menjadi warisan kami adik beradik sebelum membeli kereta sendiri.
Abah dahulu membeli van kerana adik beradik kami ramai. 8 orang semuanya. Abah memandu, angah duduk di sebelah abah sebagai co-pilot, emak duduk di sebelah pintu belakang sebagai pramugari. =)
Abangku juga pernah menggunakan van ini sebelum dia membeli kereta barunya. Samalah situasinya seperti aku saat ini.
Van ini panas sebab aircondnya rosak. Kalau hujan, perlu dibukakan sedikit tingkap untuk membenarkan angin masuk supaya cerminnya tidak berkabus.
"Hujan... tentu susah nak nampak jalan. Aircond rosak pulak tuh" rungutku seorang diri. Walaubagaimanapun, aku harus meneruskan perjalanan. Aku ada urusan yang perlu diselesaikan.

Hari itu aku perlu melalui satu jalan yang gelap. Kiri dan kanan ladang kelapa sawit. Lampu jalan jaraknya jauh-jauh pula tu.
Seingat aku, aku memandu pada kelajuan 70km sejam. Ok lah, tidaklah laju sangat, dan tidaklah perlahan sangat.
Setibanya aku di satu selekoh, aku melihat seperti ada kelibat seekor 'anjing' sedang melintas jalan. 'Anjing' tersebut berlari dengan pantas cuba melepasi van yang aku pandu. Malangnya tidak sempat.
Gup!
Bunyi pelanggaran yang kecil. Aku hanya mampu menekan brek sedikit sahaja. Aku bimbang van akan berpusing jika menekan brek secara mengejut kerana jalan sedang basah. Ketika itu langsung tidak sempat untuk berhenti melihat apakah yang dilanggar olehku.
"Ah sedikit sahaja tu, dia sempat mengelak kot, tulah siapa suruh lintas sewaktu kereta tengah lalu" aku cuba memujuk diriku sendiri. Seperti mengampunkan kesalahan diri sendiri.
Aku terus melupakan peristiwa itu, malam itu juga. Namun keesokannya...
Aku melalui jalan yang sama menggunakan 'jentera' abah.
Pagi yang indah, damai, bumi yang masih basah kesan hujan semalam. Melalui jalan yang sama, tidaklah membuatkan aku merasa kelainan saat itu. Sehinggalah tiba-tiba aku melihat di depan..
Aku terkejut melihat bangkai seekor anak lembu terkujur di tepi jalan, selekoh yang aku lalui malam semalam. Aku yakin inilah selekoh yang aku lalui semalam. Inilah tempat berlakunya perlanggaran tersebut. Rupa-rupanya 'anjing' yang ku sangka itu adalah seekor anak lembu.
Kakinya sudah ternaik ke atas. Badannya sudah pun mengembung. Matanya pula sudah terbeliak.
Aku terdiam, menarik nafas. Beristighfar. Aku mintak ampun pada Allah kerana seekor lembu amat besar nilainya pada orang kampung.
Orang kampung menjual lembu untuk memasukkan anak ke universiti. Orang kampung menjual lembu untuk mengadakan majlis perkahwinan anak kesayangannya..
Namun ada yang lebih menginsafkanku saat itu. Seekor lembu betina (ibunya mungkin) sedang duduk di sisi bangkai anak lembu tersebut. Sungguh jelas kesedihan terpancar pada wajah ibu lembu tersebut. Kaki depannya membongkok ke bumi seperti sedang sujud, sedang kepalanya rendah hampir ke tanah. Seperti mengharapkan anaknya hidup kembali. Mustahil.
Aku menitiskan air mata saat itu melihat wajah ibu lembu tersebut.
Aku biarkan sahaja drama itu. Aku lansung tak berhentikan van. Aku tak sanggup dan aku memang tak tahu nak buat apa kalau aku berhenti pun..
Esoknya, aku melalui jalan yang sama, dan hari ini bangkai anak lembu sudah pun tiada. Namun, aku tetap sedih kerana ibu lembu masih ada. Aksinya sama seperti semalam. Bezanya hari ini anaknya sudah tiada. Mungking sudah dibakar oleh tuan lembu tersebut untuk mengelakkan bau bangkai yang busuk.

Aku rasa selama 5 hari berturut-turut aku melalui jalan tersebut, aku pasti melihat ibu lembu yang sedang meratapi kehilangannya anaknya. Aku sedih dan rasa bersalah pada ibu lembu tersebut.
Demi Allah, aku belajar kasih ibu daripada seekor lembu. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya sakit, demam apatah lagi mati sebelumnya. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya gagal dalam kehidupan. Ibu pasti menitiskan air mata. Bangunlah, balaslah jasa ibumu walaupun jasa ibumu takkan pernah dapat dibalas.

No comments:

Post a Comment