Pages

Saturday, June 23, 2012

AS, Israel hantar virus

DUBAI: Iran mengesan satu rancangan serangan siber besar-besaran terhadap kemudahan nuklearnya, lapor televisyen negara itu semalam.
Laporan itu disiarkan ketika rundingan Teheran dengan kuasa besar dunia gagal menyelesaikan pertikaian aktiviti nuklear Iran. Menteri Perisikan Iran, Heydar Moslehi, berkata Amerika Syarikat dan Israel bersama Britain merancang serangan berkenaan. “Berdasarkan maklumat diperoleh, AS dan rejim Zionis bersama MI6 merancang operasi melancarkan serangan siber besar-besaran ekoran kegagalan rundingan Iran dengan kumpulan negara P5+1 di Moscow,” katanya dan dilapor Press TV.

Menurut Heydar, rancangan itu masih diusahakan tetapi Iran mengambil langkah perlu bagi menghadapinya. Pakar keselamatan bulan lalu berkata, satu virus komputer amat canggih - di gelar Flame - menjangkiti komputer di Iran dan negara lain di Timur Tengah.
Ia didakwa mampu mencuri data serta mengintip pengguna komputer.

Pegawai Iran kemudian segera mendakwa virus itu berjaya diatasi.

Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan dibuat Heydar semalam merujuk kepada Flame atau sebarang virus baru. Program nuklear Iran pernah diserang virus Stuxnet pada 2010 dan ia menjejaskan operasi di loji nuklear negara itu.
Teheran mendakwa AS dan rejim Zionis bekerjasama menghasilkan Stuxnet.

Awal bulan ini, pegawai AS berkata, pentadbiran George W Bush memulakan penciptaan Stuxnet dalam usaha mereka cuba menghalang Teheran menyiapkan senjata nuklear tanpa menggunakan serangan tentera. Menurut pegawai terbabit, Presiden Barack Obama meningkatkan usaha itu selepas mengambil alih Rumah Putih menggantikan Bush. - Reuters

No comments:

Post a Comment