Pages

Friday, June 29, 2012

Ahli politik AS sokong Ahmadiyah

WASHINGTON: Penggubal undang-undang Amerika Syarikat menawarkan sokongan mereka terhadap pemimpin global untuk komuniti Islam Ahmadiyah, yang berhadapan dengan diskriminasi dan keganasan di Pakistan dan Indonesia.
Mereka mengalu-alukan Hadhrat Mirza Masroor Ahmad, ketua atau khalifah kumpulan Islam minoriti, di kompleks Capitol AS dan memuji kumpulan itu kerana menyokong keamanan antara agama dan usaha seperti kempen menderma darah. 
Senator Robert Casey, anggota Demokrat dari Pennsylvania, memuji ketua kumpulan itu kerana “menunjukkan komitmen terhadap toleransi, keadilan dan keamanan.”

Wakil Keith Ellison, yang juga seorang Muslim, memahami masalah Ahmadiyah di Pakistan dan berkata, “Yang jelas dalam dunia ini, terdapat sedikit sangat negara di mana semua orang boleh mengamalkan agama mereka seperti yang mereka mahukan.”

Ditubuhkan pada 1889 di India, Ahmadiyah berbeza daripada fahaman Islam dengan menganggap pengasasnya sebagai nabi.

Pada 1974, undang-undang Pakistan menganggap golongan itu sebagai bukan Islam.

Aktivis berkata, undang-undang itu menyebabkan ramai orang dalam komuniti itu dibunuh.

Lebih 80 orang maut pada Mei 2010 apabila penyerang menyerbu dua masjid Ahmadiyah di Lahore dan kemudian menyerang mangsa yang dirawat di hospital. - AFP

No comments:

Post a Comment