Pages

Thursday, June 21, 2012

29 lagi korban di Syria

BEIRUT 20 Jun - Seramai 29 anggota tentera dan seorang imam Syiah adalah antara 46 orang yang terbunuh dalam keganasan terbaru di Syria, hari ini.
Sekurang-kurangnya 20 askar dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak di barat laut wilayah Latikia, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Lima pemberontak turut terkorban dalam pertempuran itu yang bermula lewat semalam dan berterusan sehingga hari ini di wilayah yang dikenali sebagai Pergunungan Kurdish, berhampiran sempadan Turki.
"Kebanyakan tentera itu terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak dan yang lainnya maut ketika pemberontak menyerang dua bangunan yang digunakan untuk melancarkan serangan mortar ke atas Pergunungan Kurdish," kata ketua pertubuhan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.
Rahman berkata, berpuluh-puluh tentera turut cedera dan ramai lagi, termasuk seorang pegawai, ditangkap pemberontak.
Di Idlib, lima tentera kerajaan terbunuh apabila sebuah bom kereta meletup di satu pusat pemeriksaan.
Di tengah bandar Homs pula, pertempuran di pekan Kernaz menyebabkan tiga anggota tentera maut, manakala bedilan meriam kerajaan turut mengakibatkan sepasang suami isteri terbunuh.
Lebih 14,400 orang, kebanyakannya penduduk awam, terbunuh dalam kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad yang tercetus sejak Mac tahun lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment