Pages

Thursday, May 31, 2012

Wanita miang punca masalah

JAKARTA: Seorang pegawai kanan kerajaan yang ditugaskan menyelamatkan pekerja Indonesia yang menghadapi hukuman mati di luar negara membuat kenyataan mengejutkan bahawa sesetengah pekerja berkenaan, khususnya wanita perlu dipersalahkan atas nasib malang mereka.
Ketua pasukan petugas kerajaan terhadap pekerja migran, Maftuh Basyuni berkata, sesetengah pekerja migran Indonesia suka menggoda majikan mereka menyebabkan mereka diganggu secara seksual. “Sesetengah pekerja ini suka menggoda dan ia memerlukan dua belah pihak untuk berlaku kejadian seumpamanya. Mungkin mereka dipengaruh oleh nafsu, tetapi sikap pekerja migran memang mengejutkan,” katanya dalam satu seminar di Jakarta, semalam.

Media kemudian menghubungi Maftuh bagi mengesahkan kenyataannya itu dan bekas Menteri Hal Ehwal Agama dan bekas duta ke Arab Saudi itu menyatakan komennya memang beralasan.
“Kerana kelakuan miang mereka, pasangan majikan mereka menjadi cemburu dan mendera mereka,” katanya.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menubuhkan pasukan petugas pada 7 Julai tahun lalu bagi memberi bantuan kepada pekerja Indonesia di luar negara yang menghadapi masalah undang-undang. Susilo juga memberi tugas tambahan terhadap pasukan petugas itu bagi menyediakan bantuan guaman secara maksimum kepada setiap rakyat negara itu yang berdepan hukuman mati di luar negara.

Bidang kuasa pasukan petugas itu berakhir pada 7 Januari tahun ini, tetapi Susilo memutuskan untuk melanjutkannya hingga 7 Julai depan. Terdapat 6.5 juta rakyat Indonesia bekerja di luar negara masa kini, sesetengahnya terbabit dengan masalah undang-undang. Walaupun hampir mencecah tempoh tamat, pasukan petugas masih buntu dengan berapa ramai pekerja Indonesia yang berdepan masalah undang-undang di luar negara. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment