Pages

Tuesday, May 29, 2012

Protes tuntut hak homoseksual, 40 ditahan


Polis antirusuhan Rusia menahan seorang aktivis homoseksual semasa satu bantahan di tengah Moscow, kelmarin. - AFP
MOSCOW 28 Mei - Sebanyak 40 orang ditahan polis di Moscow semalam, selepas berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan penyokong homoseksual yang cuba mengadakan dua tunjuk perasaan bagi menuntut hak kumpulan itu untuk menganjurkan perarakan.
Tindakan mereka itu bagaimanapun dihalang oleh kumpulan penentang terdiri daripada aktivis gereja Ortodoks Rusia.
Kumpulan pertama aktivis homoseksual itu berkumpul di luar bangunan dewan bandar raya, lokasi tercetus pergaduhan apabila pihak penentang cuba mengganggu tunjuk perasaan tersebut, dengan mendakwa kegiatan homoseksual merupakan satu dosa.
Selepas polis berjaya mengawal keadaan, satu lagi kumpulan cuba mengadakan tunjuk perasaan kedua di lokasi yang sama, namun sekali lagi berjaya dihalang polis yang bertindak menahan kumpulan penunjuk perasaan dan penentang.
Awal tahun ini, anggota Parlimen Rusia mencadangkan rang undang-undang yang bakal mengenakan denda kepada pihak yang menyebarkan propaganda homoseksual di kalangan penduduk.
Walaupun undang-undang tersebut kononnya menyasarkan tindakan seperti pengedaran gambar pornografi homoseksual kepada kanak-kanak, pengkritik berpendapat ia boleh digunakan untuk mengharamkan demonstrasi hak asasi golongan itu.
Undang-undang itu sememangnya sudah dikuatkuasakan di bandar tempat tinggal Presiden Vladimir Putin, di St Petersburg.
Kegiatan homoseksual tidak lagi dianggap jenayah di Rusia pada 1993, namun kumpulan yang menentang kegiatan itu semakin bercambah, dalam masa yang sama golongan yang menyokongnya kekal bergerak secara tidak rasmi.
Gereja Ortodoks Rusia, yang mana pengaruhnya berkembang sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991, menentang kegiatan homoseksual secara besar-besaran.
Perhimpunan hak asasi homoseksual biasanya berakhir dengan pergaduhan melibatkan kumpulan aktivis anti-homoseksual dan mereka yang terlibat ditahan pihak berkuasa. - AGENSI

No comments:

Post a Comment