Pages

Tuesday, May 15, 2012

Pengganas ‘mati’ masih hidup

Berita Harian Online | Pengganas ‘mati’ masih hidup:
KUALA LUMPUR: Pengganas rakyat Malaysia paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS), Zulkifli Hir @ Marwan, dipercayai sedang bersembunyi di kepulauan terpencil di Selatan Filipina. 

Zulkifli yang berasal dari Muar, Johor, berbuat demikian berikutan gerakan besar-besaran memburunya dan saki baki kumpulan pengganas berkenaan oleh tentera negara itu.
Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Fuzi Md Harun, berkata kemungkinan anggota Jemaah Islamiyah (JI) itu pakar dalam pembuatan bahan letupan, masih hidup amat tinggi berikutan tiada bukti sahih mengaitkan kematiannya dalam serangan tentera terhadap Kumpulan Abu Sayyaf di Jolo, Zamboanga, 1 Februari lalu.
“Zulkifli dilaporkan antara yang terkorban dalam serangan itu, namun tiada pihak dapat mengesahkan maklumat itu. Laporan kita terima (dari pihak berkuasa Filipina) juga bercanggah dengan laporan media antarabangsa, malah tiada bukti sahih menunjukkan dia terkorban dalam operasi berkenaan. 

“Hasil maklumat risikan menunjukkan Zulkifli masih hidup dan dipercayai bersembunyi di lokasi rahsia (di Selatan Filipina). Kita mempunyai sumber perisikan dan mekanisme sendiri yang boleh mengesahkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Dalam kejadian 1 Februari lalu, Zulkifli, 40, bersama dua lagi warga Malaysia, Amin Bacho dan Jeknal Adil dari Kumpulan Darul Islam Sabah (DIS) dilaporkan terbunuh selepas lokasi persembunyian mereka diserang tentera Filipina dalam operasi besar-besaran memerangi kegiatan pengganas di selatan negara itu. 

Turut dilaporkan terbunuh, pemimpin kanan JI, Abdullah Ali dan Ketua Kumpulan Abu Sayyaf, Gumbahali Jumdail yang turut dikenali sebagai Doc Abu di kalangan pengikut kumpulan pengganas terbabit. 
Zulkifli sebelum ini disenaraikan sebagai pengganas paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menawarkan ganjaran wang tunai AS$10 juta (RM30 juta) kepada mana-mana pihak boleh menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya individu berkenaan. 

Dengan memiliki kepakaran pembuatan bahan letupan, bekas jurutera lulusan AS itu turut dianggap aset terpenting rangkaian pengganas antarabangsa, Al-Qaeda, malah beliau juga dilaporkan pernah mengikuti latihan peperangan di Afghanistan dan beberapa lokasi lain di Asia Barat. 

Berikutan perkembangan terbaru itu, Fuzi berkata, pasukannya dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina akan terus memantau keadaan di selatan negara itu, selain mengawasi pergerakan beberapa kumpulan militan dan pengganas yang sudah dikenal pasti, termasuk dari Malaysia. 

“Dimaklumkan pasukan khas kita, termasuk pakar forensik dihantar ke sana sebelum ini bagi membantu siasatan (kematian Zulkifli) sudah pulang ke tanah air. Bagaimanapun, tiada sebarang bukti atau maklumat sahih diperoleh mereka, yang menunjukkan individu terbabit terkorban dalam operasi itu. 

“Kita akan terus pantau perkembangan beliau dan mengawasi pergerakan rangkaian pengganas di sana bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment