Pages

Monday, May 7, 2012

Pelajar maut digilis jentera pembajak

Pelajar maut digilis jentera pembajak - Semasa - Sinar Harian:


Pelajar maut digilis jentera pembajak
Jentera pembajak . Gambar kecil: Muhammad Fariz Najmi Nurizan.
KUALA NERANG - Kemalangan tragis jentera pembajak berulang kembali dalam tempoh sembilan hari. Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menaiki jentera pembajak berakhir dengan tragedi maut setelah kepalanya digilis bilah pembajak di Kampung Kubang Palas, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, Muhammad Fariz Najmi Nurizan beria-ia mahu mengikuti bapa saudaranya, Habibullah Halim, 27, membajak tanah sawah dengan duduk di bahagian tepi jentera kira-kira jam 10 pagi.

Ketika kejadian, Habibullah yang memandu jentera jenis Ford 6600 tidak menyedari Muhammad Fariz terjatuh dan mangsa cedera parah di kepala akibat digilis bilah pembajak.

Bagaimanapun, Habibullah hanya mengetahui kemalangan itu selepas menyedari anak saudaranya tiada di bahagian tepi sebelah kiri jentera iaitu setelah memandu kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Yusof Awang, 53, memberitahu, kejadian yang berlaku amat mengejutkan seluruh keluarganya kerana mangsa maut dalam keadaan mengerikan.

“Kepalanya cedera teruk kerana dikisar bilah jentera dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Palas, di sini,hari ini.

Yusof berkata, kedua ibu bapa mangsa, Nurizan Halim, 46, dan Razamah Abdullah, 46, serta bapa saudara, Habibullah masih trauma dan enggan bercakap mengenai kejadian itu.

“Arwah seorang yang peramah dan kehilangannya dalam kemalangan ngeri itu memberi kesan mendalam kepada seluruh keluarga,” katanya.

Menurutnya, arwah sering mengikuti bapa saudaranya membajak tanah di sawah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya dan sudah biasa menaiki jentera pembajak itu.

“Bagaimanapun, pada hari itu, mangsa dipercayai terjatuh ketika jentera baru sahaja turun dari jalan kampung ke sawah sebelum bapa saudara menyedari kemalangan berkenaan.

“Fariz yang ditemui berlumuran darah kemudian diangkat oleh bapa saudaranya ke jalan kampung sebelum mayat dibawa polis trafik ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat,”  katanya.

Menurutnya, dia diberitahu mengenai kemalangan terus ke tempat kejadian.

Bagaimanapun kedua ibu bapa mangsa tidak dibenarkan ke lokasi kerana dikhuatiri tidak sanggup melihat keadaan mangsa.

“Mangsa menunjukkan perubahan apabila bertukar menjadi pendiam kira-kira seminggu sebelum kejadian,” katanya.

Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan bersekolah di Sekolah Rendah Kubang Palas, di sini dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kubang Palas, pada petang hari kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Ku Yaacob Ku Hamad memberitahu, polis mengambil keterangan pemandu jentera pembajak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 26 April lalu, seorang peniaga pasar malam, Mohd Hishamudin Yusof, 22, meninggal dunia sewaktu membantu bapanya mengeluarkan jentera pembajak dari bawah rumah, maut setelah badan tersepit antara mesin berkenaan dengan lantai rumah neneknya di Batu Lapan, Simpang Empat, Alor Setar.

No comments:

Post a Comment