Pages

Friday, May 11, 2012

Lempar nota cemas

PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah  suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.
PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah
suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.

KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis nota “tolong selamatkan ibu, kami di W1310” dan melontarnya dari tingkat 13 sebuah kondominium di Batu Kawa, di sini, bagi mendapatkan pertolongan selepas ibunya dibelasah bapanya sehingga tidak sedarkan diri, malam kelmarin.
Nyata usaha itu tidak sia-sia, apabila nota berkenaan ditemui seorang penghuni kondominium sama yang kebetulan melalui blok pangsapuri itu, biarpun agak lewat iaitu kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas 14 jam ia ditulis.

Wanita mahu dikenali sebagai Mei, 40, berkata, dia menemui nota berkenaan di kaki lima berhampiran pintu utama blok itu dan membuang kertas itu ke dalam tong sampah berhampiran selepas membacanya.

“Saya sempat membaca nota di atas kertas itu, tetapi agak ragu dengan kesahihannya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah dan pulang ke rumah.

“Namun, saya berasa tidak sedap hati sebelum kembali semula ke tong sampah tadi untuk mengambil kertas itu dan pergi ke rumah yang dinyatakan.

“Saya menekan loceng beberapa kali sebelum seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan trauma sedang menangis membuka pintu, saya lihat seorang wanita terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu dengan kesan lebam di muka dan kepala,” katanya ketika ditemui Harian Metro.


Mei berkata, terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa seorang warga Indonesia dikenali sebagai Juliani, berusia 26 tahun, seorang suri rumah dipukul suaminya menggunakan kayu golf dan tali pinggang sehingga tidak sedarkan diri.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam kelmarin, apabila suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain ketika dia keluar bekerja.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia kerap dipukul suaminya, tetapi kejadian kelmarin paling teruk sehingga mangsa tidak sedarkan diri kerana mendakwa suaminya memukul dan menendangnya tanpa belas kasihan.

“Suspek seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Mangsa yang sudah sedar masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Konsul Indonesia dan kes disiasat mengikut bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment