Pages

Saturday, May 5, 2012

Kubu Fordow tetap operasi

myMetro | Kubu Fordow tetap operasi:

VIENNA: Iran semalam berkata, ia tidak akan menggantung program pengayaan uraniumnya dan tidak akan menutup kubu nuklear bawah tanah di Fordow.
Kenyataan Iran itus secara tidak langsung menunjukkan ia sudah menggariskan had untuk rundingan dengan kuasa besar dunia pada hujung bulan ini.

Bulan lalu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata, negara itu dan sekutunya akan mendesak Iran menghentikan aktiviti pengayaan uranium gred tinggi serta menutup kemudahan nuklear di Fordow pada rundingan itu kelak.
Bagaimanapun, duta Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Ali Asghar Soltanieh memberitahu Reuters, dia tidak melihat kewajaran untuk menutup Fordow yang menurutnya, diletakkan di bawah pemerhatian IAEA.

“Apabila anda mempunyai tempat selamat di bawah kawalan IAEA, mengapa anda memberitahu saya supaya menutupnya?” kata Ali, menjelaskan lagi hasrat Iran yang membina kawasan itu untuk melindungi program nuklearnya daripada menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat dan Israel.

“Fordow ialah tempat selamat. Kami menghabiskan sejumlah besar wang dan masa untuk memiliki sebuah tempat selamat,” kata duta berkenaan.
Iran dan kuasa besar dunia menyambung semula perbincangan mengenai program nuklearnya pertengahan April lalu di Istanbul, selepas tertangguh selama lebih setahun. Ia dilihat sebagai peluang untuk meredakan ketegangan dan mengelak ancaman tercetusnya Perang Asia Barat yang baru.

Mereka dijadual berunding lagi pada 23 Mei di Baghdad. Barat menuduh program nuklear Iran bertujuan menghasilkan bom atom dan mahu Teheran memberi jaminan bahawa ia tidak merancang sedemikian. Ini boleh dilakukan dengan membenarkan lebih banyak pemeriksaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mengehadkan kapasiti pengayaan uraniumnya.
Iran menolak tuduhan itu, sebaliknya berkata, program nuklearnya bertujuan untuk keamanan.

“Satu perkara yang jelas: aktiviti pengayaan uranium tidak akan digantung,” kata Ali. - Reuters

No comments:

Post a Comment