Pages

Thursday, May 24, 2012

Kisah Benar – Kubur Hajjah Siah Bercahaya

Kisah Benar – Kubur Hajjah Siah Bercahaya

Sebuah kubur dikatakan telah mengeluarkan cahaya yang terang. Setelah diselidik, cahaya yang keluar itu adalah dari sebuah kubur yang dikenali sebagai Hajjah Siah. Apakah amalannya?

Kubur Hajjah Siah Bercahaya | Kisah ini adalah mengenai sebuah kubur yang dikatakan bercahaya di sebuah kampung Sungai Manik, Teluk Intan, Perak. Kubur yang dimaksudkan adalah kubur Hajjah Siah. Terdapat saksi yan menyaksikan tentang kejadian ini. Cerita ini juga telah menunjukkan salah satu bentuk kekuasaan Allah SWT. Sesungguhnya amalan tetap dihitung walaupun ia hanya sebesar zarah. Ikuti kisah di bawah ini.

Selepas berbuka puasa pada malam 1 Ramadan 2002, Tajuddin Ali, 31, berbual-bual dengan seorang rakannya bernama Ahlid di halaman rumahnya sambil menghembus asap rokok berkepul-kepul.Entah apa yang dibualkan mereka tapi mereka berdua rancak bercerita sementara menunggu masuknya waktu solat fardu Isyak.

Sedikit demi sedikit malam mula berlabuh, suasana jadi kelam. “Fuuuhh!” Tajuddin menghembus asap rokok melepas ketagihan sejak siang tadi. Matanya memandang kearah tanah perkuburan yang terletak di depan rumahnya di Parit 1C, Sungai Manik, Teluk Intan, Perak yang mula diselubungi malam.
Keadaan tanah perkuburan itu kelam, tiada apa yang kelihatan melainkan beberapa batang pokok kayu yang tinggi menjulang dan rendang nampak berbalam. Namun, dalam kegelapan malam tu tiba-tiba Tajuddin terlihat muncul satu cahaya aneh berwarna biru dari kawasan perkuburan.

Cahaya aneh berbentuk bulat seperti disuluh lampu limpah itu menjadi semakin besar dan menaik sehingga menjulang melebihi tiga meter. Cahaya itu tidak jauh dari mereka, lebih kurang 100 meter sahaja dari halaman rumahnya. Kawannya, Ahlid turut menyaksikan perkara yang sama, ternampak cahaya itu muncul dari batu nisan disalah sebuah kubur di situ.

Terkedu Tajuddin menyaksikan peristiwa itu sehingga sebahagian kawasan tanah perkuburan menjadi terang benderang seperti disuluh dengan lampu limpah. Hampir lima minit mereka berdua menyaksikan cahaya aneh itu bermula dari warna biru, berubah menjadi kekuningan, kemerahan kemudian beransur-ansur sirna.

Cahaya apakah itu?
Menggigil dan berpeluh Ahlid sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Sebaik sahaja cahaya itu hilang mereka berdua berlari ke dalam rumah. “Kau nampak tak apa yang aku nampak tadi Lid?” soal Tajuddin.
“Ya, aku nampak Din,” beritahu Ahlid terketar-ketar.
“Ishhhk…! Pelik betullah cahaya apa tadi tu?” soal Tajuddin lagi.
“Entahlah Din, jangan-jangan hantu tak?” balas Ahlid.
“Ishhhk…! Merepeklah, bulan puasa mana ada hantu!” balas Tajuddin.
Akibat terlalu takut, malam itu Ahlid tidak berani hendak balik tidur ke rumahnya sebaliknya bermalam di rumah Tajuddin. Keesokan harinya hebohlah seluruh pekan Teluk Intan memperkatakan tentang kejadian kubur bercahaya di Sungai Manik.

Malam berikutnya, berduyun-duyunlah penduduk kampung berkumpul berhampiran tanah perkuburan Islam Parit 1C selepas berbuka puasa. Mereka tergiur ingin melihat cahaya apakah yang telah disaksikan Tajuddin dan Ahlid, semalam.
Masing-masing bersidai didepan tanah perkuburan Islam itu dengan harapan dapat melihat cahaya muncul dari kubur tersebut. Masing-masing tertunggu-tumggu bilakah cahaya itu bakal muncul!

Ada juga yang merasa ragu-ragu, kalau-kalau Tajuddin sengaja mahu memperdayakan orang-orang kampung dengan mereka-reka cerita berkenaan. Kira-kira pukul 8.00 malam, tiba-tiba muncullah cahaya aneh yang ditunggu-tunggu. Maka bertambah gemparlah seluruh penduduk Sungai Manik apabila menyaksikan peristiwa aneh itu.
Benarlah dakwaan Tajuddin dan Ahlid apabila sebahagian besar penduduk dapat menyaksikan sendiri cahaya yang terpancar, muncul dari celah-celah batu nisan seorang wanita tua bernama Hajah Siah Haji Tamin.
Malam tersebut, cahaya aneh muncul lebih kurang dua hingga lima minit dan menerangi hampir sebahagian tanah perkuburan Islam Parit 1C, Sungai Manik. Peristiwa pelik ini sangat menakjubkan dan tersebar dengan begitu cepat bukan sahaja ke seluruh pelosok negeri Perak tetapi seluruh Negara.
Sejak itulah juga kubur Hajah Siah menjadi tumpuan ramai. Pengunjung tidak kira dari Melaka, Pulau Pinang mahupun Johor turut datang semata-mata mahu menyaksikan cahaya yang didakwa terbit dari batu nisan di bahagian kepala milik arwah Hajah Siah.

Tapi… dalam keajaiban kejadian Allah ini terdapat pula yang cuba berniat jahat. Geram betul Tajuddin apabila ada pihak tertentu yang datang bertujuan cuba mendapatkan nombor ekor.
Orang luar yang tidak dikenali siap membawa pen dan kertas. Malah ada desas-desus menyatakan ada pihak ingin mencuri batu nisan tersebut! Tajuddin mengakui kejadian yang berlaku hampir lapan tahun lalu amat menakjubkan sepanjang hidupnya.

Peliknya, cahaya tersebut biasanya muncul antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam dan jangka masa muncul antara dua hingga lima minit sahaja. Pada mulanya ramai yang pelik mengapa cahaya ini muncul pada waktu berkenaan. Tetapi selepas mendengar cerita sebenar barulah ramai yang merasa takjub dengan allahyarham Hajah Siah.

Sebenarnya pada waktu berkenaanlah, arwah Hajah Siah suka membaca al-Quran semasa hayatnya. Ceritanya lagi, Allahyarham Hajah siah yang berasal dari Parit 4A, Sunga Manik merupakan seorang yang warak dan alim ketika hidupnya. Arwah seorang yang memiliki budi pekerti yang baik dan gemar ‘bersahabat’ dengan al-Quran.

Untuk mendapatkan kepastian, Tajuddin membawa kami menemui dua anak arwah, Haji Muhammad Haji Othman, 69, dan anak bongsunya, Jamaliah Haji Othman, 67.
Sambil dihidangkan secawan kopi, kami bertanya apakah ibadah yang selalu diamalkan oleh arwah ketika hayatnya sehingga kuburnya mengeluarkan cahaya untuk dijadikan iktibar kepada pembaca?
Jamaliah tersenyum sambil memberitahu bahawa arwah ibunya meninggal dunia sebelum azan maghrib 8 Disember 2002 di Hospital Teluk Intan ketika berusia 80 tahun, beliau tidak mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Jamaliah juga tidak mahu terlalu memuji ibunya bimbang dianggap riak pula.

Pada Jamaliah, apa yang diamalkan arwah ibunya biasa saja seperti amalan umat Islam lain iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Misalnya, semasa hayatnya, arwah Hajah Siah sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada setiap hamba-Nya. Arwah ibunya juga sering kali bersolat sebaik masuk waktu tanpa melengah-lengahkan dengan hal-hal keduniaan.

“Misalnya, sebelum masuk waktu solat Maghrib lagi mak dah ambil air sembahyang, kemudian duduk menunggu di atas sejadah sambil membaca al-Quran. “Bila azan Isyak selesai, mak terus solat. Lepas solat sambung lagi mengaji al-Quran. Masa mak banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran!

“Tengah malam mak selalu bangun buat solat Tahajud dan waktu pagi solat sunat Dhuha. Tiap-tiap hari itulah amalan mak!” cerita Jamaliah. Kami juga dimaklumkan Jamaliah, dalam setahun ibunya berkhatam al-Quran, lima hingga enam kali. Pada bulan puasa sahaja arwah ibunya khatam al-Quran sebanyak dua kali.
“Mak selalu amalkan baca surah Yasin, al-Waqiah dan surah al-Mulk. Tiga surah ini pasti mak baca pada tiap-tiap hari. Kira amalan wajib bagi mak!” tambah Jamaliah.

Amalan lain yang turut menjadi darah daging arwah Hajah Siah ialah berzikir. “Mak berzikir tak kira waktu pagi, petang atau siang. Malam pula saya tengok mak berzikir. Tasbih memang tak lekang dibilang dan dibawanya ke mana-mana.”

“Tengah berkebun pun mak bawa tasbih juga, kalau dia nak mencangkul dan menebas dia sangkutkan tasbih pada lehernya!” beritahu Haji Muhammad pula.
Zikir yang selalu diamalkan arwah ialah zikir harian yang selalu diamalkan Imam al-Ghazali. “Setiap kali berzikir arwah mak buat seribu kali setiap hari!” beritahu Jamaliah.

Selain berzikir apa lagi amalan yang paling disukai arwah Hajah Siah?
“Ishhhk! Amalan ini memang berat, susah orang nak buat. Tapi arwah mak suka sangat buat. Mak suka sangat bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid. “Mak sedekah bukan sikit tapi banyak. Arwah mak pernah sedekah sampai RM1000 untuk bina masjid. Kalau bab sedekah arwah mak memang tak sayang duit, hairan saya.

“Arwah mak ada pesan pada kami, kalau orang datang minta sedekah jangan dihampakan. Beri biarpun sikit!” ujar Haji Muhammad pula.
Semasa hayatnya, arwah Hajah Siah selalu berpesan kepada Haji Muhammad dan Jamaliah supaya rajin-rajinlah membaca al-Quran. Itulah saja penolong ketika berada di alam kubur.

“Kata mak, kalau kita rajin baca al-Quran, nanti bila dah meninggal, dalam kubur akan bercahaya terang-benderang seperti disuluh lampu. Sebab itulah saya tak terkejut sangat bila orang heboh bercerita kubur mak saya bercahaya!” jelas Jamaliah pula.

Begitulah cerita daripada anak-anak arwah Hajah Siah yang kami temui di rumah mereka di Parit 4A, Sungai Manik, Teluk Intan.

No comments:

Post a Comment