Pages

Tuesday, May 22, 2012

Kelebihan solat berjamaah




“Daripada Ubai bin Kaab katanya, telah bersabda Rasulullah: “Sembahyang seoranglelaki berserta seorang lelaki lebih baik daripada ia sembahyang seorang diri dan sembahyang seorang lelaki berserta dua orang lelaki lebih banyak ganjarannya daripada ia bersama-sama dengan seorang lelaki sahaja. Dan jemaah yang lebih banyak, jemaah itu lebih dikasihi Allah.” (Riwayat Abu Daud).

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Darda’ r.a bahawasanya Nabi bersabda: Tiada tiga orang di dalam sebuah kampung atau dusun yang tidak diadakan di sana sembahyang jemaah, melainkan nyatalah bahawa mereka telah dikuasai oleh syaitan. Sebab itu, usahakanlah mengadakan sembahyang berjemaah. Sesungguhnya kambing yang terpencil daripada kawannya sahajalah yang dapat dimakan oleh serigala.” (Riwayat Abu Daud dan An-Nasai).

orang yang sembahyang berjemaah mendapat dua puluh tujuh darjat daripada orang sembahyang bersendirian. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Sembahyang berjemaah itu lebih utama pahalanya daripada sembahyang sendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah bersabda: Sembahyang seseorang dengan berjemaah itu melebihi sembahyangnya di rumah atau di pasar sebanyak dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah apabila dia berwuduk, dilakukannya dengan baik lalu pergi ke masjid sedang pemergiannya itu tidak lain daripada hendak sembahyang semata-mata, maka setiap langkah yang dilangkahnya, diangkatlah kedudukannya satu darjat dan dihapuskan satu dosanya. Dan jika dia sedang sembahyang, maka malaikat memohonkan untuknya rahmat selama dia masih berada di tempat sembahyang itu selagi dia belum berhadas, kata mereka, “Ya Allah! Berilah orang ini rahmat, ya Allah! Belas kasihanilah dia. Dan orang ini dianggap sedang bersembahyang, sejak dia mulai menantikannya.”


Daripada kitab Durratun Nasihin, Rasulullah memberitahu melalui hadisnya yang bermaksud: “Barang siapa sembahyang lima waktu berjemaah, maka baginya lima perkara (hadiah). Pertama, dia tidak ditimpa kefakiran di dunia. Kedua, Allah membebaskan dia daripada seksa kubur. Ketiga, dia akan menerima kitab catatan amal dengan tangan kanannya. Keempat, dia melalui jambatan (siratulmustakim) sebagai kilat yang menyambar dan kelima, Allah memasukkannya ke syurga tanpa hisab dan seksa.”



Oleh yang demikian, marilah kita ke surau dan masjid menunaikan sembahyang fardu berjemaah setiap waktu. Tidak perlu menunggu Jumaat dan Aidilfitri atau di malam tertentu Ramadan kita ke surau dan masjid untuk sembahyang berjemaah. Jangan kita dilalaikan oleh aktiviti duniawi yang merugikan hidup di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment