Pages

Friday, May 18, 2012

Iran tolak tekanan Barat

TEHERAN: Iran menolak tekanan Barat berhubung aktiviti nuklearnya dan tidak sekali-kali akan menyerah haknya untuk mendapatkan teknologi itu, kata ketua perunding nuklear negara itu menjelang perbincangan dengan kuasa dunia di Baghdad, minggu depan.
“Kita menyertai rundingan itu kerana tentangan kita terhadap tekanan kuasa Barat,” kata Saeed Jalili dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen tempatan.

“Rakyat Iran tidak akan menyerah hak mereka walau sedikit pun,” katanya, merujuk kepada aktiviti nuklear republik Islam itu yang didakwa Barat bertujuan menghasilkan senjata.

Teheran menafikan tuduhan itu.

Selepas tertangguh selama 15 bulan, Iran dan kuasa P5+1 - Amerika Syarikat, Britain, China. Perancis dan Russia serta Jerman - mengadakan rundingan pertama di Istanbul pada pertengahan April yang disifatkan sebagai ‘positif.’ Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan perbincangan mendalam selanjutnya di Baghdad pada 23 Mei.

“Saya menasihatkan pegawai Barat supaya tidak membuat kesilapan. Di Baghdad, kita boleh berunding untuk bekerjasama berdasarkan penghormatan terhadap hak Iran,” kata Saeed.

“Laluan yang kami pilih adalah laluan yang tidak ada jalan kembali. Barat mahu menyekat kemajuan Iran dalam industri nuklear. “Tetapi mereka gagal berbuat demikian. Hari ini, Iran sudah menjadi kuasa nuklear.

“Kepada mereka yang berkata, masa untuk berdialog sudah suntuk, saya ingin memberitahu: ‘Apa yang suntuk ialah dasar untuk mengenakan tekanan terhadap Iran kerana strategi itu tidak menghasilkan keputusan,’” katanya.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran, khususnya industri minyak dalam usaha untuk memaksa negara itu menghentikan proses pengayaan uranium.

Presiden Barack Obama Mac lalu memberi amaran kepada Iran, masa sudah semakin suntuk untuk menyelesaikan perbalahan mengenai program nuklear negara itu. -AFP

No comments:

Post a Comment