Pages

Sunday, May 27, 2012

Hukuman mati dicadang ke atas Ben Ali


TUNIS 24 Mei - Seorang pendakwa raya tentera Tunisia menuntut hukuman mati dikenakan ke atas bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali yang dibicarakan tanpa kehadirannya, berhubung pembunuhan ketika kebangkitan rakyat di negara ini tahun lalu.
Peguam-peguam bela dan ahli keluarga mangsa pembunuhan turut terkejut dengan keputusan itu kerana Ben Ali hanya didakwa ‘bersubahat dalam pembunuhan sukarela’ dan beberapa tuduhan penglibatan secara langsung.
Selain mahu bekas Presiden itu dijatuhkan hukuman mati, pendakwa raya tentera turut mahu supaya 22 defendan lain dikenakan ‘hukuman paling berat’, menurut pegawai mahkamah kepada AFP.
Mereka adalah bekas pegawai kanan yang didakwa atas kematian sekurang-kurangnya 22 orang ketika tunjuk perasaan pro demokrasi pada Januari 2011 di bandar Thala dan Kasserine.
Kebanyakan mangsa terbunuh apabila pasukan tentera melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup.
Ini adalah pertama kali hukuman mati dicadangkan ke atas bekas diktator itu, walaupun beliau telah dijatuhkan hukuman penjara lebih 66 tahun atas pelbagai dakwaan termasuk menyeludup dadah dan menggelapkan wang.
Ben Ali yang tidak menghadiri semua perbicaraan itu kini berada di Arab Saudi selepas melarikan diri pada 14 Januari lalu.
Meskipun waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan ke atasnya dan isteri, pihak berkuasa Arab Saudi tidak mempedulikan tuntutan ekstradisi Tunisia.
“Kami turut terkejut dengan keputusan itu kerana Ben Ali tidak memainkan peranan utama dalam pembunuhan tersebut dan hanya dibicarakan kerana bersubahat," kata seorang peguam ahli keluarga mangsa yang terkorban, Abderraouf Ayadi.
- AFP

No comments:

Post a Comment