Pages

Tuesday, May 29, 2012

Bekas buluh dilelong RM1.8j


Bekas buluh dari China ini dilelong pada harga RM1.8 juta kerana nilai sejarahnya walaupun mengalami sedikit kerosakan. - AGENSI
LONDON 28 Mei - Sebuah bekas kecil yang sudah rosak dan didermakan kepada sebuah kedai kebajikan mengejutkan dunia seni halus apabila ia dijual pada harga mencecah 360,000 pound (RM1.8 juta).
Bekas yang digunakan untuk meletakkan berus buluh China itu dibawa ke kedai tersebut dalam beg bersama bahan-bahan terbuang lain, namun seorang daripada pekerja kedai berasa tertarik kerana berpendapat ia mungkin mempunyai nilai sejarah.
Ia kemudian ditunjukkan kepada John Axford, dari firma lelongan Woolley and Wallis, Salisbury, yang merupakan seorang pakar mengenai objek dari China.
Menurut Axford, bekas itu mungkin dihasilkan antara tahun 1662 hingga 1722 oleh seorang artis China terkenal ketika itu, Gu Jue.
"Walaupun bekas buluh itu sudah merekah dan dasar serta gelungannya sudah diperbaiki dengan tampalan gam, ia tetap laris di kalangan peminat berbangsa Cina kerana mempunyai nilai tersendiri," katanya.
Bekas dengan ukuran 16.2 sentimeter tinggi dan diameter 14.5 sentimeter itu diukir teliti dengan lukisan unik termasuk menggambarkan ahli falsafah China, Laozi dengan lembunya.
Ahli falsafah agung itu duduk bersama 12 watak dalam pelbagai peranan berbeza di bawah pohon pain dan di tepi sungai yang mengalir dengan landskap pergunungan yang cukup menarik.
Ia kemungkinan menggambarkan sebuah puisi lama yang terkenal bertajuk, Kehidupan Menyenangkan di Tanah Unggul.
Menurut Axford lagi, bekas tersebut masih boleh diperbaiki, namun hanya dua atau tiga individu sahaja yang mampu melakukannya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment